KOTA BHARU –"Kayuhan Pak Wan kali ini adalah untuk penghargaan kepada Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) sebab banyak menyokong sepanjang misi Pak Wan mencipta pencapaian dalam Malaysia Book of Records (MBOR),” demikian kata pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood.
Wan Hashim Wan Mahmood atau lebih dikenali sebagai Pak Wan, 73, yang mula berkayuh hari ini bakal mencipta rekod baharu MBOR iaitu The Faster Senior Citizen To Cycle Solo Around Peninsular Malaysia dengan jarak 2,200 kilometer melibatkan tempoh masa 15 hingga 20 hari.
Pak Wan berkata, untuk kayuhan yang bakal berakhir 6 Julai ini, beliau membawa misi membantu Kemudi dalam mendidik masyarakat untuk mendapatkan berita yang sahih daripada media yang diiktiraf.
"Pak Wan harap dengan misi kayuhan kali ini bakal beri impak positif kepada masyarakat dan juga kepada Pak Wan sendiri. Kemudi banyak tolong Pak Wan sepanjang misi Pak Wan memburu pelbagai rekod MBOR.
"Pak Wan akan bawa bersama risalah mengenai kepentingan mendapatkan berita-berita sahih di setiap kawasan yang akan Pak Wan lalui nanti. Sebelum ini masyarakat banyak terdedah dengan berita palsu sekali gus ‘melupakan’ agensi-agensi pemberitaan yang sepatutnya menjadi rujukan.
"Ini merupakan hadiah daripada Pak Wan, semoga misi ini berjaya dengan cemerlang. Walaupun ia dilakukan dalam masa singkat, namun cabaran tetap ada dan Pak Wan sudah bersedia mental dan fizikal, Insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Pak Wan yang pernah merangkul empat rekod sebelum ini akan melalui Takbai, Patani, Haadyai, Padang Besar, Kuala Lumpur, Tanjong Piai, Kota Tinggi dan seterusnya Kota Bharu.
Bapa kepada enam cahaya mata, 20 cucu dan seorang cicit ini turut berkongsi, beliau akan mengayuh dengan jarak 130 hingga 150 kilometer sehari dan hanya akan mengambil masa rehat setengah jam sahaja dan sejam untuk menunaikan solat.
Sementara itu, Presiden Kemudi, Azran Fitri Ab Rahim dalam sidang media yang sama berkata, pihaknya amat terharu dengan sokongan yang diberikan Pak Wan sekali gus menjadikan beliau sebagai Ikon Kemudi dalam mendidik masyarakat mendapatkan berita yang sahih.
"Risalah yang Pak Wan bawa itu amat penting kerana ia membawa mesej supaya masyarakat menerima berita yang benar daripada kumpulan media yang diiktiraf, berkredibiliti dan yang benar-benar beretika,” katanya.