KOTA BHARU – Pemuda Amanah Kelantan menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas untuk mendapatkan semula aset bernilai kira-kira RM20.74 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, langkah tersebut amat penting untuk membantu mengembalikan keyakinan terhadap tadbir urus negara seterusnya meningkatkan imej Malaysia dalam memerangi rasuah.
Iklan
Iklan
"Aset tersebut perlu segera dikembalikan agar dapat dimanfaatkan untuk program pembangunan dan kebajikan rakyat.
"Pasukan petugas khas ini membuktikan skandal 1MDB benar-benar memberi kesan buruk kepada ekonomi dan imej negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki sebelum ini memberitahu, pasukan tersebut akan diketuai Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta SPRM sendiri.
Mengulas lanjut, Hazmi berkata, beliau berharap tindakan tersebut akan disokong semua pihak bagi mengembalikan semula hak rakyat yang dinafikan sebelum ini.
Langkah tersebut juga membantu kerajaan untuk membuktikan bahawa kerajaan PH benar-benar menentang salah laku dan rasuah dalam negara, tambahan pula bersekongkol dengan perompak wang rakyat (1MDB) adalah satu kecurangan yang tidak boleh dimaafkan.