KUALA TERENGGANU - Rakyat Malaysia disarankan menjadikan aktiviti bersukan sebagai rutin sepanjang hayat kerana antara cara terbaik dapat mengurangkan tekanan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tekanan yang tidak dikawal dan diuruskan dengan baik boleh menjejaskan kesihatan secara keseluruhan lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerjaya.
Menurutnya, kepenatan berdepan tuntutan tugasan harian di rumah dan di pejabat membuatkan ramai dalam kalangan kita mudah berasa tertekan.
"Jadi, inilah sebabnya kita perlu belajar cara untuk menguruskan tekanan dengan melakukan pelbagai aktiviti santai.
"Kita perlu memahami kebaikan bersukan yang jelas mampu memberikan kesihatan yang baik dan menghindarkan penyakit serta masalah obesiti yang akhir-akhir ini agak meruncing dalam kalangan rakyat," katanya pada sidang media hari ini sempena Pelancaran FitMalaysia Peringkat Zon Timur, di Dataran Batu Burok, di sini.
Program FitMalaysia itu menghimpunkan hampir 15,000 peserta yang bermula sejak semalam lagi.
Syed Saddiq berkata, FitMalaysia di Terengganu dihidangkan dengan kelainan acara seperti sukan memanah tradisional, bola sepak pantai, sukan tradisional dan Fun Go Green iaitu satu acara menyokong konsep baharu yang diterapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam penganjuran program FitMalaysia pada tahun ini.
"Saya juga dimaklumkan bahawa Kempen Hindari Penggunaan Plastik 1 Kali Guna juga diadakan dalam FitMalaysia Terengganu dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar negeri.
"Kita ingin mengajak masyarakat untuk diberi kesedaran agar tetap mengutamakan kelestarian alam sekitar walau dalam apa jua aktiviti yang kita sertai," katanya.
Katanya lagi, pada tahun ini, FitMalaysia digerakkan di seluruh negara dan sebanyak lima negeri dipilih untuk meneruskan kesinambungan ke arah negara bersukan.
"Sebelum ini FitMalaysia di Selangor (zon tengah) sudah dilancarkan pada 20 Mac lepas, hari ini di Terengganu (zon pantai timur) dan jelajah seterusnya ke Pulau Pinang (zon utara),Johor (zon selatan) dan Sabah (zon timur Malaysia). Insya-ALLAH Oktober nanti kita akan lancarkan besar-besaran secara serentak.
"Alhamdulillah, setakat ini sambutan masyarakat terhadap program FitMalaysia ini amat membanggakan dan pelaksanaannya sentiasa di tunggu-tunggu.
"Apa yang diharapkan adalah budaya rakyat Malaysia yang suka bersukan serta menjalani hidup sihat terus dikekalkan dan seterusnya negara akan mencapai sehingga 70 peratus penglibatan masyarakat bersukan menjelang 2020," katanya.