JOHOR BAHRU - Kerjasama dalam industri minyak dan gas di negeri ini merupakan antara cadangan boleh dipertimbangkan Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJB) bagi mengembangkan perniagaan mereka dalam skala yang lebih besar.
Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan berkata, koperasi yang telah bertapak di negeri ini sejak lebih 50 tahun itu dilihat mampu berkembang dengan lebih baik sekiranya mula beralih kepada sektor yang lebih meyakinkan.
Menurutnya, perkembangan pesat yang sedang berlangsung di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang kini merupakan sumber terbaik untuk koperasi tersebut mencari peluang yang baharu.
"Mungkin antara cadangannya adalah mahu koperasi ini mula menglibatkan diri dalam sektor yang lebih kompeten seperti industri minyak dan gas. Ini kerana di peringkat kerajaan negeri, kami melihat bahawa pembangunan di Rapid itu sentiasa berterusan puluhan tahun, berkekalan.
"Jadi kalau koperasi boleh wujudkan kemahiran dalam bidang yang berkaitan, tentu ia boleh mengambil peluang pembangunan dalam negeri ini sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika hadir menyempurnakan Mesyuarat Agung Perwakilan KPMNJB kali ke-24 di Hotel New York, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi KPMNJB, Ahmad Daud
Aminolhuda berkata, kerajaan negeri juga mahu memberi galakan kepada semua koperasi berimpak tinggi di negeri ini untuk terus mencuba bidang-bidang yang lain dan bukan hanya menumpukan terhadap pertanian sahaja.
"Saya juga cadangkan peningkatan koperasi berskala tinggi atau berimpak tinggi ini bukan sahaja daripada sudut pertanian sahaja tetapi menyeluruh, macam di KPMNJB saya dapat mereka juga terlibat dalam pembangunan infrastruktur, itu kerjasama baik.
"Berbalik kepada apa yang utama tadi, saya harap mereka boleh pergi ke industri minyak dan gas, sebab itu sahaja sumber yang akan kekal di negeri ini,” katanya.
Untuk rekod, KPMNJB kini memiliki jumlah keanggotaan seramai 9,000 ahli dengan menghimpunkan 18 buah koperasi Melayu berdaftar.