PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan mengadakan rundingan dengan syarikat Gamuda Berhad (Gamuda) bagi tujuan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya bertol.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart (Smart).
"Kementerian Kewangan memberikan tawaran rasmi pada 21 Jun 2019 kepada keempat-empat syarikat konsesi tersebut dengan harga enterprise value.
"Lebuhraya LDP dengan harga tawaran RM2.47 bilion, Sprint RM1.98 bilion, Kesas RM1.37 bilion, Smart RM369 juta dan jumlah keseluruhannya adalah RM6.2 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 23 Februari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan cadangan untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di mana syarikat Gamuda yang mempunyai kepentingan dalam syarikat bekenaan.
Menurunya, kejayaan tersebut tertakluk kepada ketekunan wajar, sokongan pemegang saham, pemiutang syarikat konsesi yang mencukupi dan kelulusan jemaah menteri.
"Jika proses pengambilalihan lebuh raya bertol ini berjalan lancar, kerajaan melalui syarikat tujuan khas (SPV) anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan akan mengambil alih lebuh raya tersebut pada 31 Disember 2019.
"Pengambilalihan empat lebuh raya bertol ini merupakan langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan meralisasikan janji Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Guan Eng berkata, pengambilalihan keempat-empat lebuh raya tersebut secara langsung menjimatkan pembayar cukai kira-kira RM5.3 bilion dalam bentuk bayaran pampasan kepada syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol sehingga akhir hayat konsesi.
"Ini bermaksud kerajaan akan mampu memperuntukakan perbelanjaan tambahan melebihi RM5.3 bilion untuk membantu rakyat seluruh Malaysia pada tahun-tahun akan datang. Bukan sahaja pengguna lebuh raya bertol akan menerima penjimatan besar tetapi rakyat secara keseluruhannya.
"Fakta-fakta ini secara langsung membuktikan model konsesi lebuh raya bertol di bawah kerajaan BN hanya menguntungkan pihak konsesi dan bukan rakyat," katanya.
Tambahnya, rundingan yang dijalankan dengan pihak konsesi dengan bersungguh-sungguh untuk memberikan nilai tawaran pengambilalihan paling wajar supaya ia bukan sahaja dapat memaksimumkan pulangan kepada rakyat, tetapi tidak memberi beban kewangan kepada kerajaan.
"Pihak SPV akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon. Kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik hutang, kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
"Dengan kata lain, kos pengambilalihan tersebut akan dibayar balik dengan sendirinya daripada kutipan caj kesesakan tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan," katanya.