KUANTAN - Pas mungkin terperangkap dalam keadaan tidak bersedia sekiranya kerajaan PH berjaya menunaikan semua janji dalam manifestonya sebelum PRU15.
Perwakilan Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sehubungan itu Pas tidak boleh alpa sebaliknya perlu membuat persediaan menghadapi PRU15 lebih awal.
Iklan
Iklan
"Selalunya kita kata kerajaan hari ini hanyalah kerajaan sepenggal. Lalu melalaikan dan membuaikan kita dengan keadaan selesa seolah-olah kita tidak perlu lagi bekerja keras.
"Tetapi apa jadi kalau janji yang gagal dilaksanakan itu ditunaikan beberapa bulan sebelum mereka isytihar sebelum PRU15. Maka, kita akan terperangkap dalam keadaan tidak bersedia kerana mereka cukup sedar bahawa rakyat Malaysia khususnya Melayu mudah lupa," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan Pas ke-65 di sini hari ini.
Katanya, PH juga tidak akan dengan mudah memberi kemenangan kepada pembangkang.
"Kalau mereka boleh menang PRU lalu dengan fitnah, reka cerita, apakah mereka tak boleh fitnah dan reka cerita lebih besar sebelum PRU.
"Pas Kelantan seru semua kepimpinan bangkit laksanakan kerja bersungguh-sungguh laksanakan kerja. Jangan mimpi nak tawan Putrajaya kalau kita tidak mulakan kerja dari sekarang,” katanya.