Malaysia mahu negara Asean bersatu gubal COC

Iklan
Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah - Foto Bernama

BANGKOK - Malaysia mahu negara anggota Asean bersatu dalam penggubalan Kod Tata Laku (COC) agar pertikaian Laut China Selatan dapat diselesaikan secara aman.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pendirian Malaysia dalam isu perebutan di Laut China Selatan tidak harus dibincangkan secara berasingan antara negara yang membuat tuntutan bertindih di kawasan itu dan penggubalan COC pada Sidang Kemuncak Asean Ke-34 di Bangkok pula harus dilakukan menerusi perbincangan secara 'Asean berkumpulan' dengan China.

Iklan
Iklan

"COC yang akan mula dibincangkan pada akhir tahun ini harus dibuat secara Asean berkumpulan. Kita akan menekankan hal ini kerana ada satu atau dua negara Asean yang mahu berbincang secara berasingan,” katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri Asean Foreign Minister’s Meeting (AMM) di sini hari ini.

COC dilihat akan lebih berkesan dalam mengawal keamanan di Laut China Selatan berbanding dengan Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) yang tidak berkuasa.

Iklan

Sementara itu, Saifuddin berkata, pembabitan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad di Sidang Kemuncak Asean Ke-34 ini bermula dengan sesi pleno pada petang ini, disusuli dengan majlis pembukaan dan sesi pemukiman Sidang Kemuncak Asean esok pagi dan beliau dijangka membawa suara Malaysia dalam isu berhubung pelarian etnik Rohingya.

Beliau berkata, Dr Mahathir juga dijangka akan menyatakan sokongan Malaysia kepada tema yang dipilih pengerusi Asean, Thailand, iaitu 'Advancing Partnership for Sustainability'.

Iklan

"Satu lagi, Dr Mahathir dijangka akan membincangkan soal ekonomi Asean dalam usaha meningkatkan perdagangan intra-Asean yang kini tidak lebih daripada 25 peratus jumlah perdagangan sesama Asean.

"Perdana Menteri dijangka mencadangkan satu dua pandangan bagaimana kita boleh memperkukuhkan ekonomi Asean yang memiliki jumlah penduduk yang melebihi 600 juta orang dan juga kerjasama erat bagi memanfaatkan negara Asean,” katanya. - Bernama