PUTRAJAYA - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama 300 badan bukan kerajaan (NGO) menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggesa pemecatan Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy; Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.
Memorandum tersebut disampaikan Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.
Menurut Aminuddin, kandungan memorandum itu juga turut meminta supaya kerajaan tidak membenarkan sebarang campur tangan eksekutif dalam proses siasatan kes kematian Pegawai Bomba (PB) Mohamad Adib Mohd Kassim yang dipukul perusuh ketika sedang bertugas.
"Kita minta supaya kerajaan komited dengan apa yang mereka perjuangkan bagi memastikan tiada sebarang campur tangan politik dalam siasatan kes ini.
"Adib terkorban sewaktu menyelamatkan orang dan beliau juga tidak membawa sebarang senjata. Jadi kita harap kerajaan dapat mendengar suara rakyat di peringkat bawah berhubung kes ini,"katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan ketiga-tiga pemimpin tersebut menimbulkan rasa kebencian antara kaum sehingga menyebabkan berlakunya insiden tidak diingini.
"Waytha Moorthy dan Kula Segaran juga mempunyai rekod buruk apabila pernah menyebarkan fitnah dan kebencian sehingga menyebabkan perpecahan antara kaum di negara ini.
"Mereka tiada kelayakan untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan atas sikap rasis dan kebencian yang melampau,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Ummah, Kamalruzaman Mohamad berkata pihaknya menggesa supaya Tun Mahathir dapat memberi maklum balas terhadap kandungan memorandum tersebut dalam tempoh seminggu.
"Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil kita akan menganjurkan himpunan yang lebih besar bagi mendesak supaya pihak terbabit dilucutkan jawatan.
"Sebelum ini kita telah membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati bagi menggesa supaya siasatan dijalankan berhubung kes Adib dan Insya-ALLAH minggu hadapan juga kita akan buat laporan polis kedua,” katanya.
Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 Isnin malam lalu selepas 20 hari bertarung nyawa akibat dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini.
Susulan itu, beberapa pihak tampil dan mendesak supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Waytha Moorthy daripada jawatannya bagi meregangkan ketegangan kaum di negara ini.
Malah, sayap Pemuda Parti Bersatu turut menyerahkan memorandum kepada Tun Mahathir bagi mendesak Waytha Moorthy dilucutkan daripada jawatan berkenaan.