Peralihan kuasa: Pertikaian antara pemimpin pandangan individu

Iklan
Muhyiddin Yassin

JELEBU - Pertikaian antara beberapa pemimpin PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung peralihan kuasa perdana menteri, adalah pandangan individu dan bukannya pendirian parti, kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menjelaskan kesemua empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) mempunyai pendirian mengenai perkara itu yang dipersetujui sejak awal lagi berdasarkan perjanjian persefahaman dan ikatan yang telah diputuskan dalam PH.

Iklan
Iklan

"Dalam soal itu tak ada perbezaan. Kalau ada pandangan, itu pandangan individu, pandangan parti berbeza sedikit.

"Kita ada pendirian yang kita ambil sejak awal sampai sekarang. Komitmen kita buat berdasarkan perjanjian, persefahaman dan ikatan sesama parti dalam PH dan kita berpegang kepada prinsip itu,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri PH-Bersatu Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Iklan

Turut hadir Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim dan timbalannya, Eddin Syazlee Shith. Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR dan Bersatu yang berbalas kenyataan berhubung isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Beberapa pemimpin PKR antaranya Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan kumpulan pendesak, Otai Reformasi memberi tekanan kepada Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan itu.

Iklan

Bagaimanapun, Bendahari Bersatu Selangor, Mohd. Shaid Rosli hari ini secara terbuka berkata, parti itu yakin dengan kekuatan yang dimiliki dan akan mempertahankan Dr. Mahathir jika kepemimpinannya cuba digugat dengan cara tidak sepatutnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga berkata, beliau yakin Bersatu akan menjadi parti lebih kuat selepas pemilihan yang akan diadakan buat kali pertama selepas tiga tahun parti itu ditubuhkan.

Katanya, pemilihan itu akan diadakan selepas mesyuarat agung luar biasa yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan bagi meminda beberapa perlembagaan parti itu antaranya dari segi disiplin, keanggotaan dan pemilihan pada bulan depan.

"Bersatu baru ditubuhkan dan kita masih di peringkat awal dan yang penting kita laksanakan ikut sistem demokrasi, pemilihan dibuat oleh ahli terbanyak, dengan cara itu kedudukan parti lebih kukuh dan diharap keyakinan ahli kepada parti lebih kuat dan sokongan masyarakat kepada perjuangan Bersatu lebih mantap," katanya. - Bernama