JIKA datang ke Negeri Sembilan, tidak lengkap jika tidak mencuba masakan asli negeri beradat ini. Masak lemak cili padi antara menu popular di negeri ini malah turut menjadi masakan kegemaran mereka yang tinggal luar dari Negeri Sembilan.
Bagi penggemar masakan tersebut, anda boleh mengunjungi Restoran Warung Salai yang menyediakan pelbagai menu masakan asli Negeri Sembilan berasaskan produk salai.
Jika ada segelintir kedai makan hanya menyediakan masakan daging dan ikan keli salai hanya pada hari tertentu sahaja, tetapi di warung Salai ini setiap masa dan setiap hari menu tersebut disediakan.
Bermula dengan membuat jualan secara atas talian dan food delivery, pemilik Warung Salai, Ishanira Bahari,37, dan suaminya, Salfa Izuan Mustafa,41, melebarkan sayap dengan membuka restoran masakan Negeri Sembilan seperti daging salai masak lemak cili padi, masak lemak ikan keli salai, daging tetel masak lemak cili api.
"Di Warung Salai terdapat pelbagai menu orang Negeri Sembilan, resipi asli turun-temurun, siapa yang rasa-rasa mengidam nak makan masak lomak cili padi, meh singgah Warung Salai kerana semuanya ada di sini.
"Kita menyediakan banyak menu menarik, menu wajib daging salai dan ikan keli salai masak lomak cili padi, yang akan dihidangkan secara set bersama telur masin, ulam-ulaman dan ayam goreng (jika diminta oleh pelanggan).
"Konsep kami makanan ini akan dihidang dalam dulang, macam orang dulu-dulu, yang kemudiannya akan dimakan bersama,” katanya.
Tambahnya, dalam masa tiga ke empat hari, beliau memperuntukkan lebih 200 kilogram daging yang akan disalai sendiri dengan menggunakan resipi turun-temurun.
Katanya, daging yang salai dengan sempurna akan menimbulkan aroma yang enak dalam makanan, selain cara masakan berasaskan resipi keluarga turun temurun.
Menurut Ishanira atau lebih mesra dikenali sebagai Angah, setiap produk salainya disimpan dengan rapi bagi mengekalkan kualiti masakan.
"Kalau kita main simpan sahaja, kualiti dan kesegaran produk salai itu tak ada, nanti ia akan menjejaskan rasa masakan kita,” katanya.
Dengan menggunakan #kuanghajasodap, Warung Salai ini semakin menjadi pilihan sama ada dalam negeri ini mahu pun luar, selain mewajibkan semua pekerjanya berbusana seperti pahlawan lama, lengkap bertanjak untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Terletak di lokasi yang strategik, Warung Salai mempunyai tiga cawangan iaitu dua di Port Dickson dan satu di Rasah, Seremban.
Kata Ishanira, beliau dan suami berhasrat meluaskan perniagaan dengan membuka cawangan di Melaka pada masa akan datang dan proses pelaksanaan ke arah itu kini dalam proses perundingan akhir.
"Selain masakan lemak cili padi, kami juga mempunyai kepakaran dalam masakan asam pedas, malah maklum balas yang diterima rata-rata mereka memberitahu rasa asam pedas saya sama sedap macam di Melaka, jadi apa salahnya kita mencuba nasib dan mencari rezeki di Melaka pula satu hari nanti,” katanya.