BACHOK - Sebanyak 30 peratus daripada 8,400 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara didapati pasif dan perlu dihidupkan semula bagi memastikan agenda memupuk perpaduan masyarakat diperkasakan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, usaha memupuk perpaduan rakyat mesti dilakukan secara berterusan dan penglibatan seluruh KRT amat dituntut.
Katanya, pihaknya akan mengenal pasti faktor sebahagian KRT yang tidak lagi aktif.
"Kita perlu tahu sebab apa KRT tidak aktif, apa masalah dan apa kekangannya, mungkin masalah kewangan atau ada sebab-sebab lain.
"Jika masalah kewangan, kita akan memastikan KRT menerima peruntukan sewajarnya untuk bergerak aktif," katanya.
KRT juga katanya, mesti berfungsi dengan baik termasuk menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan.
Menurutnya, kerajaan hari ini memberikan perhatian khusus kepada agenda perpaduan negara dengan KRT menjadi ejen untuk membangkitkan kesedaran masyarakat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jalinan Kasih Peringkat Zon Timur Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan di Pejabat Perpaduan Daerah Bachok semalam.
Turut hadir Pengarah JPNIN Kelantan, Norwahidah Zinalibdin.