Seramai 14 individu disyaki mengidap chikungunya

Iklan
Pegawai kesihatan memeriksa suhu badan pekerja yang disyaki dijangkiti chikungunya di premis berdekatan kawasan disyaki. Gambar kecil:Dr Norhizan Ismail

ALOR SETAR - Seramai 14 individu yang mendiami rumah kedai berhampiran City Plaza, disyaki mengidap penyakit chikungunya selepas mempunyai simptom demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar tidak menerima sebarang maklumat berkaitan kes terbabit, namun telah menjalankan siasatan segera selepas kes itu tular di media sosial sejak semalam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati 14 pesakit terbabit berumur lingkungan 35 hingga 50 tahun telah mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar, dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Gejala awal bermula pada 9 Jun lalu, siasatan awal pula dibuat berdasarkan gejala berkenaan dan mengesyaki mereka berkemungkinan menghidap penyakit chikungunya, namun tidak menolak kemungkinan penyakit lain,” katanya, dalam satu kenyataan media, hari ini.

Iklan

Dr Norhizan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menghantar sampel untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

"Pejabat Kesihatan daerah turut jalankan tindakan pencegahan dan kawalan antaranya, pengesanan kes secara aktif (ACD) sedang dilakukan sekitar kawasan terlibat, selain meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda demam, sakit sendi teruk dan ruam,” katanya.

Iklan
Kaki salah seorang yang disyaki mengidap penyakit chikungunya kelihatan membengkak ketika diperiksa.

Menurutnya, promosi kesihatan kepada penduduk setempat turut digiatkan selain pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes sekitar kediaman dan premis perniagaan.

"Saya harap orang ramai maklumkan kepada hospital dan klinik swasta jika ada kes yang mempunyai gejala berkenaan, dan turut laporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah. Kita akan teruskan aktiviti kawalan vektor, pemantauan dan siasatan lanjut,” katanya.

Dr Norhizan berkata, orang ramai yang mempunyai gejala terbabit terutama penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berdekatan.

"Maklumat lanjut perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, untuk mencegah penularan penyakit chikungunya, masyarakat diminta membersihkan persekitaran serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.

Penyakit chikungunya adalah disebabkan oleh virus chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk aedes. Mereka yang dijangkiti akan mengalami demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang boleh mengganggu pergerakan pesakit.