PUCHONG - Taktik licik pemilik sebuah pusat hiburan yang cuba menyembunyikan 20 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing terbongkar, selepas polis berjaya menemui satu 'bilik rahsia' dalam premis terbabit.
Kegiatan tersebut berjaya dihidu polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menyerbu premis terletak di Bandar Puchong Jaya, di sini, jam 12.30 pagi tadi.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, ketika diserbu menerusi operasi Ops Noda itu, terdapat 25 pelanggan tempatan yang sedang leka berhibur di premis berkenaan.
Beliau berkata, setelah pemeriksaan dibuat, pihaknya menemui sebuah bilik rahsia dalam premis dan mendapati terdapat 20 GRO berusia lingkungan 20-an sedang bersembunyi di situ.
"Kesemua wanita itu merupakan 15 warga Vietnam, tiga warga Thailand dan masing-masing seorang warga China dan Indonesia.
"Siasatan awal menunjukkan kesemua wanita itu hanya menemani pelanggan minum dan menyanyi dalam premis," katanya.
Menurutnya, turut ditahan adalah tiga pekerja lelaki warga asing dan tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga serta pekerja premis.
Katanya, turut dirampas dalam serbuan antaranya tunai berjumlah RM318, jadual kerja, satu unit sistem muzik, dua unit mikrofon dan satu unit speaker.
Azmi berkata, semakan awal mendapati premis tersebut juga tidak mempunyai lesen hiburan.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 6(1)(c) Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1) EHTTH 1995.