MELAKA - Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menutup pertandingan Melaka Culinary Challenge 2019, di Bachang di sini.
Pertandingan yang disertai 501 chef tempatan dan antarabangsa daripada Thailand, Mesir, India, Indonesia dan Singapura itu, diadili 37 anggota juri profesional dan 10 anggota juri latihan dari negara seperti Jerman, Singapura, India dan Denmark.
Melaka Culinary Challenge 2019 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini mempertandingkan 27 kategori masakan antaranya Hot Pasta Challenge, Tradisional Asam Pedas, Ice Carving, Burger Champion dan King of Teh Tarik.
Tunku Azizah ketika bertitah menutup kejohanan itu turut berkongsi pengalamannya memasak asam pedas dan pengalaman menyertai pertandingan memasak makanan yang sinonim dengan rakyat Melaka itu.
"Pertandingan seperti ini kerap kami anjurkan di negeri Pahang dan juga di seluruh negara ....pada peringkat tempatan dan antarabangsa dan ramai chef yang ada di sini hari ini adalah rakan seperjungan saya.
"Kami bertanding memasak sesama sendiri, Chef Rizwandy Perin dan chef lain boleh mengaku di mana apabila pertandingan memasak di antara chef (diadakan). Saya bukan chef tapi saya sibuk masuk dapur,” titah Seri Paduka.
Turut berangkat anakanda Tunku Azizah iaitu Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.
Hadir sama pada majlis tersebut isteri Yang Dipertua Negeri Melaka, Toh Puan Zurina Kassim; isteri Ketua Menteri, Dalilah Awaludin; serta barisan anggota exco kerajaan negeri.- Bernama