TUMPAT - Usaha kerajaan memperbetulkan tadbir urus negara supaya berada dalam keadaan baik bukan boleh diukur dalam tempoh setahun pemerintahannya.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Radzi Jidin berkata, ada perkara perlukan tempoh masa lama dan ada yang singkat untuk distabilkan apabila tadbir urus negara disalahgunakan oleh kepimpinan lama sebelum ini.
"Sebagai contoh bagaimana agensi utama seperti Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Sebelum ini saya lihat dua agensi ini dipimpin ahli politik dan di bawah kepimpinan baru kerajaan menetapkan bahawa agensi ini dipimpin golongan profesional.
"Hasilnya Lembaga Tabung Haji suku pertama 2019 telah mencatatkan keuntungan RM400 juta," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hari Raya dan Sambutan Setahun Malaysia Baharu yang turut dihadiri Ketua Amanah Tumpat, Wan Mohd Johari Wan Omar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di sini hari ini.
Menurutnya, selepas perbetulkan tadbir urus dan kewangan negara, ia dapat menarik pelabur melihat kembali negara Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan.
"Secara umumnya, asas ekonomi kita berada dalam keadaan kukuh, kita sedang menyusun semula apa yang dirosakkan pimpinan sebelum ini.
"Dalam satu negara sistem tadbir urus itu penting, apabila ia disusun dengan baik ia akan berjalan dengan baik, tetapi sistem itu dirosakkan sebelum ini. Nak perbetulkan sesuatu yang ditinggalkan demikian lama, ia mengambil masa," katanya.
Dr Radzi berkata, walaupun setahun kerajaan baharu mentadbir urus negara tetapi rakyat sudah melihat hasilnya apabila inisiatif besar oleh kerajaan melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 dalam usaha menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya.
"Usaha kita adalah untuk mengukuhkan kedudukan negara, untuk rakyat melihat dan memahami bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah dengan niat untuk memberi manfaat yang jauh lebih baik untuk rakyat.
"Itu janji kita kepada rakyat sebelum pilihan raya lagi, dan fokus kita jelas meletakkan Malaysia kembali kepada asas yang kukuh dan memacu Malaysia ke arah yang lebih baik," katanya.