Ejek-mengejek punca tendang, tumbuk junior

Iklan
Rakaman video tular yang menunjukkan seorang pelajar dipercayai tingkatan empat sedang membuli juniornya di sebuah sekolah menengah di Setiu. Gambar kecil: Aidi Ismail

KUALA TERENGGANU - Rasa tidak puas hati selepas ejek-mengejek dipercayai menjadi punca insiden kejadian buli antara dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Setiu seperti dalam rakaman video yang tular di Facebook sejak pagi tadi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian buli itu dipercayai berlaku semalam membabitkan pelajar tingkatan dua dan empat.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati tindakan ejek-mengejek pada awalnya berlarutan sehingga membawa kepada kejadian buli. Kita mengetahui mengenai kejadian buli ini selepas ia tular di Facebook sejak pagi tadi namun setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak.

"Difahamkan, pihak sekolah sedang berurusan dengan ibu bapa kepada dua pelajar terbabit untuk menyelesaikan kes berkenaan tanpa membabitkan polis," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, polis memandang serius kejadian buli yang berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah yang kebiasaannya berpunca daripada isu kecil seperti ejek-mengejek yang akhirnya membawa kepada kes buli.

"Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk pelajar menuntut ilmu dan sebab itu, kita pelbagai program kesedaran gejala buli dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pihak sekolah dalam usaha mengekang gejala ini," katanya.

Iklan

Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat memaparkan seorang pelajar menendang dan menumbuk seorang lagi pelajar di dalam kelas sambil diperhatikan beberapa lain.