KUALA TERENGGANU - Pas akui cukup arif dengan sikap DAP yang disifatkan seolah-olah ingin memegang kuasa sekiranya berada di dalam satu parti.
Status bernada gurauan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim, menggambarkan secara sinis sikap DAP ketika mereka sama-sama berada di dalam parti perikatan (Pakatan Rakyat) sebelum ini.
"DAP pernah naik satu kereta dengan kita (Pas). Walau tak pergi jauh, kita cukup faham dengan perangai berebut stereng mereka.
"Tak bagi dia pegang stereng, dia ugut nak lompat turun. Akhirnya kita kata, mung (kau) naik kereta mung, aku kereta aku,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, parti itu tidak akan teragak-agak meninggalkan kerajaan campuran PH jika usaha mencapai objektif Malaysia Baharu dipinggirkan.
Kenyataan dalam Bahasa Inggeris yang ditulis menerusi blog bertajuk ‘Why DAP will not become a second MCA’, semalam, menyatakan pemimpin DAP tidak teragak untuk meninggalkan kerajaan jika tujuan Malaysia Baharu diketepikan.
"Pemimpin-pemimpin DAP tidak akan menjadikan diri mereka sebagai MCA2 atau seperti pemimpin MCA yang hanya mewakili kaum Cina di Malaysia.
"Pemimpin DAP akan memainkan peranan penting dalam kerajaan bagi membina Malaysia Baharu dan membantu kerajaan untuk menyelamatkan negara daripada kegagalan,” katanya.