KLUANG - Sampel hati dan ginjal tiga ekor gajah yang mati di Kampung Sri Timur di sini, pada 4 Jun lalu sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis toksikologi dan keputusan tersebut dijangka diperoleh dalam tempoh tiga bulan.
Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kes kematian gajah termakan racun itu bukan kali pertama berlaku di negeri ini kejadian sama pernah berlaku pada tahun lalu melibatkan kematian seekor gajah jantan di sekitar kawasan sama.
"Buat masa ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sedang menjalankan aktiviti mengawal dan memantau kawasan berhampiran bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang.
"Sehingga bulan Jun tahun ini, Jabatan Perhilitan Johor menerima 11 aduan berkaitan serangan gajah di daerah Kluang berbanding 27 aduan sepanjang tahun lalu dan terdapat satu tangkapan gajah yang dilakukan pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata pada sidang media susulan kes kematian tiga ekor gajah betina yang disyaki termakan racun yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perhilitan Johor, Salman Saaban di Pejabat Perhilitan Kluang, di sini hari ini.
Menurutnya, beliau juga menasihati penduduk kampung di negeri ini yang terlibat konflik manusia-gajah digalakkan untuk menubuhkan pasukan bertindak melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menangani masalah tersebut.
"Pasukan bertindak ini boleh membantu Perhilitan dengan memantau, menjalankan tindakan mitigasi dan langkah pencegahan kawalan gajah di kawasan perkampungan mereka dan setakat ini terdapat lima kampung yang dikenal pasti iaitu Kampung Sri Lukut, Kampung Sri Timur, Felda Kahang Timur, Felda Kahang Barat dan Felda Ulu Dengar.
"Selain itu, setiap ladang dan kebun yang diusahakan juga hendaklah mengamalkan sistem pengurusan pertanian yang terbaik dengan memastikan kebersihan ladang atau kebun adalah terjaga dan tidak dibiarkan bersemak bagi mengelakkan kehadiran hidupan liar lain," katanya.
Menurutnya, pemilik kebun dan ladang yang berkemampuan digalak untuk membina sekurang-kurangnya parit gajah atau sistem pagar elektrik gajah yang terbukti berkesan menurunkan konflik manusia-gajah jika diurus dan diselenggara dengan baik.
Sementara itu, Salman berkata, projek pembinaan fasa pertama santuari gajah yang berkeluasan 57.234 hektar di Kota Tinggi juga sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dijangka diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Johor pada bulan Oktober atau November tahun ini.
"Projek fasa pertama ini melibatkan pembinaan infra manakala projek fasa dua pula melibatkan kerjasama orang kampung, pemegang taruh, pemilik ladang, pemimpin setempat dan agensi kerajaan kerana kita mahu penglibatan holisitik semua pihak.
"Tapak Koridor Santuari Gajah berkeluasan 438.122 hektar di kawasan Mukim Sungai Ulu Sedili Besar dan Mukim Sungai Johor juga diambil melalui Seksyen 62 Akta Tanah Negara selain akan memfokuskan pengkayaan habitat dan sumber air di kawasan berkenaan," katanya.