KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedih dengan pemanusuhan Amanah Dana Anak Malaysia (Adam50) oleh kerajaan PH.
Apatah lagi, katanya, kerajaan menggunakan 'cerita dongeng' hutang negara sebanyak RM1 trilion sebagai alasan.
"Adam50 merupakan dana pertama dalam sejarah negara ini bertujuan menggalakkan simpanan peribadi untuk ibu bapa muda. Niat saya untuk mewujudkan Adam50 ialah untuk galakkan minda rakyat supaya menyimpan untuk masa depan.
"Ramai orang kita yang tidak menjangka keperluan kita dan anak kita pada masa depan. Satu lagi bantuan dan insentif yang baik untuk rakyat telah dimansuhkan oleh kerajaan PH," katanya di Facebook hari ini.
Hari ini, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Dr Zeti Aziz mengumumkan (Adam50) akan ditamatkan pada 31 Disember ini kerana kurang sambutan.
Menurut beliau, hanya 25 peratus bayi dilahirkan pada tahun ini mendaftar bagi program itu.
Malah, katanya, peruntukkan kerajaan RM10 juta untuk program itu juga telah digunakan sepenuhnya.
Adam50 julung kali diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini dalam Bajet 2018, bagi menjamin masa depan anak mereka sebagai generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Ia adalah Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200, insentif percuma diberikan kepada setiap anak Malaysia yang lahir pada 1 Januari 2018 hingga 2022 melalui unit amanah saham di PNB.