ALOR SETAR - Umno Kedah kini dalam proses pemutihan untuk menjadi lebih kukuh malah tidak terkesan dengan pengumuman keluar parti oleh bekas Adun, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, semalam.
Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Umno negeri sudah pun menghubungi Umno Bahagian Langkawi dan mendapati mereka semakin kukuh dengan proses pemutihan yang sedang berlaku.
Menurutnya, penjelasan dari Langkawi juga berhubung desas-desus bahawa Umno akan berkubur di pulau berkenaan juga tidak berasas.
"Kita melihat lompat parti ini adalah sebagai proses pemutihan kepada Umno dan saya telah menghubungi Umno bahagian dan mendapati mereka tetap utuh.
"Tidak timbul langsung apa yang diuar-uarkan melalui media bahawa Umno Langkawi akan bubar," katanya kepada media selepas menziarahi keluarga, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini, hari ini.
Mohd Rawi yang juga bekas exco Kedah dalam sidang medianya mengumumkan keluar Umno dari parti yang disertainya sejak tahun 1990 bersama 30 ahli dari Dun Ayer Hangat.
Keputusan berat tersebut terpaksa dilakukannya selepas melihat Umno tidak lagi mampu menjadi pembela kepada bangsa Melayu dan juga agama Islam.
Beliau percaya lebih ramai yang akan mengikut langkahnya bukan sahaja di Langkawi tetapi juga melibatkan bahagian-bahagian lain di Kedah.
Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, dakwaan sayap parti Umno Langkawi seperi Wanita, pemuda dan Puteri juga akan terjejas adalah tidak berasas malah menganggapnya sebagai serangan psikologi.
"Dalam tempoh sama pengumuman lompat parti ini, peringkat bahagian ada duduk berbincang dan saudara-saudara juga boleh lihat dalam senarai yang keluar itu tidak melibatkan pelbagai pihak dari bahagian (sayap-sayap parti)," katanya.