PASIR SALAK - Gara-gara cemburu seorang lelaki juga kurang upaya (OKU) dipukul hingga mati menggunakan kayu diletakkan paku oleh suami kekasihnya di Felcra Changkat Lada di sini hari ini.
Mangsa, Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, dari Kampung Selat Pulau, Kampung Gajah, yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badannya disahkan maut oleh pasukan perubatan kira-kira jam 2.30 petang.
Difahamkan, pada jam 12 tengah hari, mangsa bersama isteri suspek dikatakan keluar ke Teluk Intan menaiki sebuah kereta untuk membeli barang sebelum suspek menahan dan memecah tingkap kereta itu dan menarik duda anak tiga berkenaan lalu memukulnya dengan kayu di hadapan rumahnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.40 petang sebelum anggota Unit Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati suspek dan isterinya dalam proses bercerai sejak setahun lalu dan mereka sudah tidak duduk bersama.
"Isteri suspek dikatakan menjalinkan hubungan dengan mangsa dan kejadian dipercayai berlaku kerana cemburu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, isteri suspek menyaksi perbuatan suaminya memukul mangsa dengan menggunakan kayu yang diletakkan paku pada badan kayu itu.
"Ketika polis tiba di lokasi suspek masih memukul mangsa dan segera dileraikan oleh anggota bertugas namun mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal di lokasi kejadian.
"Suspek yang tidak sempat melarikan diri itu ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.