Apa saya lakukan untuk tentera, keluarga mereka: Hishammuddin

Iklan
Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberikan kenyataan media sejurus keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selepas memberi keterangan berkenaan isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu. - Foto Bernama

PUTRAJAYA -"Saya nak orang tahu bahawa apa saja yang saya lakukan adalah untuk tentera, keluarga, untuk kem sekarang yang memang perlu dinaik taraf.”

Demikian kata bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada pemberita selepas beliau selesai memberikan keterangan selama enam jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini petang tadi.

Iklan
Iklan

Hishammuddin dipanggil ke SPRM untuk memberi keterangan mengenai isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu yang didedahkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, beliau tidak mendapat walau ‘satu sen’ dalam urus niaga tersebut dan ia dilakukan semata-mata untuk menjaga kebajikan tentera dan keluarga mereka.

Iklan

"Saya dah beritahu saya tidak dapat satu sen pun daripada ‘land swap’ itu. Land swap itu adalah kebajikan untuk tentera dan keluarga mereka. Mana nak cari dana untuk bina kem?

"Kalau mereka nak tuduh, berilah cadangan bagaimana nak bantu tentera dan keluarga mereka? Biarlah adil dalam perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini petang tadi.

Iklan

Februari lepas, Kementerian Pertahanan di bawah pentadbiran kerajaan baharu, mendedahkan bahawa kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lepas.

Dilaporkan, sebanyak 16 projek ‘land swap’ dilakukan kementerian membabitkan 1,183 hektar tanah di beberapa kem di Bukit Kinrara, Hutan Melintang, Bera, Segamat dan Paloh dilaporkan bernilai RM4.8 bilion manakala kos projek itu sebanyak RM4.9 bilion.

Sementara itu, Hishammuddin mengingatkan semua pihak agar tidak ‘memilih bulu’ dalam menjalankan siasatan dan dakwaan berhubung kes ‘land swap’ itu kerana ia juga pernah berlaku sebelum pentadbirannya.

"Saya nak ingatkan kepada semua pihak janganlah apa siasatan dan dakwaan dilakukan secara terpilih. Kalau nak cakap pasal ‘land swap’, pastikan anda cakap pasal 16 ‘land swap’. Kalau cakap pasal prosedur, lihat apa prosedur digunakan dalam kepimpinan terdahulu.

"Apa yang terlibat dengan Paloh, saya telah menjawab dengan teliti hari ini tapi jangan berhenti di situ kerana ada laporan berlakunya 16 land swap. Mari kita lihat siapa dalangnya yang sebenar, siapa yang salah sebab kita nak tahu kebenaran,” tegasnya.

Tambah bekas Naib Presiden UMNO itu, tiada apa yang beliau mahu sembunyikan dalam kes tersebut.

"Kalau saya salah, dakwa tapi jangan dakwa saya seorang sahaja kerana apa yang kita nak tengok ialah keadilan. Kita nak pastikan bahawa apa yang dibuat ini tidak ada dilakukan secara memilih kasih, memilih bulu atau dakwaan terpilih,” ujarnya.