PHNOM PENH - Angka kematian membabitkan bangunan runtuh milik syarikat China di bandar peranginan Kemboja di Sihanoukville meningkat 17 orang, kata pihak berkuasa hari ini, ketika penyelamat berusaha mencari mangsa yang tertimbus.
Bangunan tujuh tingkat yang sedang dalam pembinaan itu runtuh awal pagi semalam di bandar peranginan tepi pantai Sihanoukville di barat daya Kemboja, bandar pesat membangun sering dikunjungi pelancong.
Empat orang sudah ditahan dalam kaitan kemalangan itu termasuk pemilik bangunan berketurunan China, ketua firma pembinaan dan kontraktor.
Seorang pemilik tanah tempatan juga ditahan di ibu pejabat wilayah untuk soal siasat.
Bangunan tujuh tingkat itu hampir siap dibina apabila runtuh, dilaporkan menyebabkan puluhan pekerja terperangkap.
Pihak berkuasa wilayah Preah Sihanouk berkata, 18 orang maut dalam insiden itu termasuk tiga wanita dengan 24 cedera.
Lebih 1,000 orang termasuk askar, pegawai polis dan paramedik bekerja tanpa henti mencari mangsa masih hidup.
Satu siasatan terhadap punca kemalangan sudah dilancarkan dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen berkata, kecuaian menjadi punca insiden sambil mengumumkan pampasan berjumlah AS$10,000 (RM41,369.32) untuk keluarga mangsa.
Tiada pengesahan jumlah sebenar pekerja dalam bangunan ketika ia runtuh, walaupun pihak berkuasa berkata, 30 orang terperangkap. - AFP