Chong Wei, terima kasih atas segala-galanya

Iklan
Lee Chong Wei. Gambar kecil: Izahar

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan persaraan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei baru-baru ini bukan sahaja memberi kesan kepada peminat sukan tanah air, malahan jutaan peminatnya di seluruh dunia.

Selepas beberapa bulan bermain dengan teka-teki dan spekulasi, akhirnya perkara paling dibimbangi mereka terutamanya peminat badminton negara muncul jua.

Iklan
Iklan

Dalam satu sidang media khas yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya pada 13 Jun lalu, Chong Wei secara rasmi mengumumkan berita persaraannya – satu momen yang cukup memberi kesan emosi mendalam kepada jaguh negara itu.

Chong Wei dilihat beberapa kali mengalirkan air mata kesedihan sepanjang sidang media tersebut. Bagi rakan-rakan media yang hadir, mereka sudah pasti turut terkesan kerana sidang media itu bukan sidang media ‘biasa-biasa’.

Iklan

Biarpun penulis tidak berkesempatan menghadiri sidang media itu, auranya tetap terasa.

Selama 19 tahun mengerah keringat dan kudrat di gelanggang badminton, Chong Wei yang juga juara 12 kali Terbuka Malaysia akhirnya terpaksa akur dengan ketentuan takdir yang menimpanya.

Iklan

Masalah kesihatan yang menimpanya menjadi antara sebab utama Chong Wei mengundur diri daripada dunia badminton – sesuatu yang mungkin tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya dalam tempoh setahun dua lagi.

Mengenali Chong Wei, semangat dan kudratnya tidak perlu kita persoalkan. Kita boleh melabelkan Chong Wei apa saja setiap kali dia turun ke gelanggang – dialah wira, dialah pejuang, dialah ikon, dialah legenda dan dialah segala-galanya.

Sebenarnya, semangat juang Chong Wei masih menebal dalam dirinya, apatah lagi dalam usahanya memenuhi impian jutaan rakyat Malaysia untuk menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Namun, apakan daya soal kesihatan harus diutamakan. Dalam serba keterpaksaan, Chong Wei menoktahkan sisa-sisa perjuangannya kurang setahun sebelum berlangsungnya Olimpik 2020 – temasya sukan paling berprestij di dunia yang menyaksikan dia meraih tiga pingat perak sebelum ini.

Biarpun tak kesampaian meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas Olimpik sebelum mengakhiri kariernya, Chong Wei tidak harus melihat kegagalannya itu sebagai satu penyesalan. Dia juga tidak harus kecewa dengan kegagalannya untuk menyambar status juara dunia sepanjang kariernya.

Penulis percaya, bagi seluruh peminat sukan tanah air terutamanya peminat badminton, Chong Wei sudah cukup menghadiahkan kegembiraan buat mereka. Tanpa status juara dunia mahupun pemenang pingat emas Olimpik, Chong Wei tetap juara di hati mereka.

Mungkin ada pihak yang berpandangan Chong Wei tidak layak digelar legenda kerana gagal memenangi emas Olimpik serta kejuaraan dunia. Namun, pernahkah kita terfikir apa yang dihadiahkan Chong Wei kepada Malaysia sebelum ini masih belum cukup?

Tepuk dada tanya selera. Deretan kejayaan termasuk status pemain nombor satu dunia yang pernah disandang Chong Wei sudah cukup mengharumkan nama Malaysia di peta antarabangsa. Sepanjang ‘menghambakan diri’ dalam dunia badminton, Chong Wei sudah memberikan segala-galanya demi menjulang nama Malaysia.

Selain menghimpunkan koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik edisi 2008, 2012 dan 2016 serta tiga gelaran naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), Chong Wei juga muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak kejohanan Super Series sebanyak 46 kali.

Bagi penulis sendiri, tidak kiralah apa pandangan pengkritik mahupun pemerhati sukan tempatan, Chong Wei, jaguh kelahiran Bagai Serai, Perak yang bakal mencecah usia 37 tahun Oktober depan, wajar dilabel legenda sepanjang zaman – sebaris legenda-legenda sukan tanah air sebelum ini.

Akhir kata, selamat datang ke ‘dunia legenda’ Chong Wei. Anda tetap akan dikenang sebagai salah seorang legenda sukan sepanjang zaman.

Jutaan rakyat Malaysia cukup berterima kasih dengan setiap apa yang anda korbankan selama ini. Terima kasih dan jumpa lagi legenda!Tanpa status juara dunia mahupun pemenang pingat emas Olimpik, Chong Wei tetap juara di hati mereka.

”*Izahar Atan ialah Editor Sukan Sinar