MARANG - Pusat pemprosesan susu kambing berteknologi tinggi pertama Terengganu di Akademi Pengembangan Veterinar Jenang di sini akan memulakan operasinya bulan depan.
Tenox Agrobusiness (M) Sdn Bhd juga sebagai pelabur utama akan mengendalikan operasi pusat pemprosesan tersebut dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu.
Pengarah urusannya, Muhammad Hariz Nordin berkata, pusat pemprosesan itu bakal mengeluarkan lebih 500 liter susu sehari dengan peningkatan kepada 1000 liter sehari dalam tempoh enam bulan.
Menurutnya, perkembangan terbaharu itu akan menjadi sokongan kepada penternak kambing tenusu berskala kecil dan sederhana di seluruh negeri untuk menjana sumber pendapatan mereka.
"Mesin berharga kira-kira RM700,000 itu sudah selesai pemasangannya dan akan memulakan operasi bulan hadapan selepas kita selesai mengadakan pertemuan dengan penternak minggu ini.
"Kita mempunyai 126 penternak namun bagi peringkat permulaan, 46 penternak aktif akan menyertai program ini dan akan mempelawa lebih ramai peserta dari masa ke masa," katanya, hari ini.
Sebelum itu, beliau mengadakan majlis doa selamat sempena pembukaan pusat pemprosesan di Akademi Pengembangan Veterinar itu. Hadir sama, Pengarah JPV negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali.
Muhammad Hariz berkata, pihaknya juga yakin pusat pemprosesan susu kambing berteknologi tinggi itu mampu untuk mencapai sasaran pengeluaran 8000 liter susu sehari menjelang 2023.