SHAH ALAM - Golongan ibu bapa dan pelajar di Malaysia melahirkan kebimbangan dengan kos pendidikan tinggi yang semakin mahal di negara ini terutamanya bagi kursus-kursus di institusi pengajian tinggi swasta.
Dengan 20 universiti awam di negara ini hanya boleh mengambil sekitar 50,000 pelajar lepasan sekolah setiap tahun, ini bermakna hampir 400,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) perlu mencari alternatif lain yang akhirnya terpaksa memilih universiti swasta, universiti luar negara kampus Malaysia, kolej universiti dan kolej swasta.
Dengan pengajian di IPTA mendapat subsidi kerajaan, jangan terkejut jika perbezaan kursus perubatan di sebuah universiti swasta lebih tinggi sehingga sembilan kali ganda berbanding universiti awam. Lebih menakutkan apabila seseorang pelajar itu tidak menerima sebarang biasiswa atau pinjaman yang akhirnya terpaksa bergantung dengan ibu bapa.
Kerisauan dengan kos pengajian tinggi yang terlalu mahal dikongsi seorang suri rumah, Marshita Yahya, 42, yang mengalami kesukaran kewangan apabila anak keduanya yang tamat SPM perlu menyediakan wang RM170,000 untuk menyambung pengajian dalam bidang farmasi di sebuah universiti swasta.
"Jadi, kami cuba mencari biasiswa atau tajaan daripada mana-mana organisasi dengan berbekalkan keputusan SPM anak saya.
"Syukur anak saya mendapat pinjaman boleh ubah daripada Program Pembangunan Bakat Muda Lepasan SPM 2018 Majlis Amanah Rakyat (Mara),” katanya.
Menurutnya, dia bimbang membayangkan kos yang perlu diperuntukkan untuk Zulfitri Zahrul Anuar, 18, menyambung pelajaran kerana kebetulan suami Marshita, Zahrul Anuar baru sahaja berhenti kerja manakala anak-anaknya yang lain masih bersekolah.
Sementara itu, Zulfitri yang mendapat tawaran di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) dalam bidang farmasi dan perlu mendaftar pada 4 Julai ini berkata, sekiranya dia tidak mendapat pinjaman boleh ubah tersebut, berkemungkinan dia tidak akan menyambung pelajaran kerana kos pengajian Ijazah Sarjana Muda mencecah RM170,000 itu terlalu mahal dan tidak mampu ditanggung oleh kedua ibu bapanya.
Katanya, bayangkan dia perlu membayar yuran sebanyak RM25,000 untuk tahun pertama seterusnya RM41,500 setiap tahun untuk empat tahun pengajian lagi.
"Saya amat terharu kerana diberikan pinjaman boleh ubah daripada Mara, namun jauh di sudut hati ini agak sedih kerana ibu bapa terpaksa mengeluarkan duit yang banyak untuk saya,” katanya.
Seorang suri rumah Siti Endon Abdullah, 60, berkata, akibat yuran pengajian yang mahal anaknya terpaksa melupakan pengajian di sebuah universiti dalam bidang diploma jurusan Pengajian Islam.
"Aliff Ashraf Abd Rapar tidak mendapat pinjaman menyebabkan saya terpaksa meminta anak-anak yang lain membantu mengumpulkan duit supaya dapat menanggung kos yurannya.
"Selepas beberapa semester, anak saya buat keputusan untuk tidak meneruskan pengajian kerana tidak mahu menyusahkan keluarga,” katanya baru-baru ini.Tak mampu bayarSementara itu, menurut Aliff Ashraf, keputusannya untuk tidak menamatkan pengajian timbul apabila tidak mampu membayar yuran pengajian yang semakin mahal di institusi tersebut.
"Saya mula belajar pada 2014, namun berhenti ketika hendak memasuki semester empat daripada enam semester keseluruhan selepas yuran kolej dinaikkan lagi.
"Oleh kerana tidak sanggup melihat keluarga bersusah payah lagi, saya nekad bekerja,” katanya.
Katanya, yuran sebanyak RM11,000 bagi keseluruhan pengajian meningkat hampir kepada RM2,200 bagi satu semester daripada RM1,500 sebelumnya.
Seorang ibu turut berkongsi kisah duka apabila anaknya terpaksa mengikat perut akibat kos pengajian yang tinggi dan sukar mendapatkan pinjaman.
Menurut Aisyah, 40-an, anaknya pada mulanya melanjutkan pengajian ke universiti awam dalam kursus Diploma Sains Matematik dan tidak mengambil sebarang pinjaman kerana dibantu keluarga arwah suaminya.
Disebabkan lebih meminati bidang penulisan kreatif, anaknya membuat keputusan berhenti belajar di universiti tersebut dan menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan sejak tahun lalu.
"Setiap ibu sememangnya ingin melihat anak-anak melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati dan bidang pengajian pilihan anak ketiga saya ini memerlukan bayaran yuran sebanyak RM2,500 bagi satu semester.
"Dalam setahun ini memang tak dapat pinjaman, mungkin kerana tidak buat permohonan pinjaman pada kali pertama pengajiannya dulu."Mara dah tolak, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) saya akan cuba sekali lagi,” katanya.
Kesempitan hidup turut menyebabkan tukang cuci, Fadzilah Mahmood, 63, berdepan kepayahan menghantar anak bongsunya, Nur Fitriah Yeop Ahamed, 23, melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Pada masa itu, saya bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji sebanyak RM900 sebulan dan kebetulan tiada simpanan wang.
"Jadi saya terpaksa minta tolong anak-anak lain kumpul duit.
"Fitriah perlu RM1,200 untuk yuran pengajian pada permulaan di UKM dan belanja itu tidak termasuk barang-barang keperluan yang perlu dibawa,” katanya.
Katanya, dia mendapat pinjaman RM3,000 bagi setiap semester selain ada membuat simpanan di Amanah Saham Bumiputera hasil kerjanya sebelum itu.