KUALA KANGSAR - Polis mengesahkan tidak ada sebarang kejadian berbalas tembakan berlaku dalam kejadian mengejar sebuah kereta di Jalan Idris berhampiran Hospital Kuala Kangsar di sini, semalam.
Beberapa gambar kejadian tular di media sosial dengan maklumat mengatakan berlaku kejadian berbalas tembakan dan suspek melarikan diri ke dalam kawasan hospital.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, polis berjaya menahan seorang lelaki manakala rakannya telah meloloskan diri.
"Kereta tersebut telah memandu secara menongkah arus dan melanggar beberapa motosikal dan kereta sebelum ditahan di persimpangan lampu isyarat berhampiran hospital berkenaan.
"Pemeriksaan dalam kenderaan itu telah menjumpai sejumlah dadah dan sepucuk pistol mainan serta vest polis,” katanya.
Menurutnya, gerakan mengesan seorang lagi suspek sedang dijalankan dan pihaknya berjaya mengenal pasti identiti suspek terlibat.
"Bahagian Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri telah dipanggil untuk membantu siasatan.
"Siasatan sedang dijalankan dan laporan lanjut akan menyusul,” katanya.