Suspek disyaki bunuh duda OKU direman tujuh hari

Iklan
Suspek berusia 43 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.
BATU GAJAH - Seorang pembantu ladang yang disyaki terlibat memukul duda orang kurang upaya (OKU) hingga mati di Felcra Changkat Lada semalam bertindak agresif cuba menendang dua jurugambar akhbar ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah, di sini hari ini.

Bapa kepada enam anak itu turut memberi amaran agar wajahnya tidak dirakam ketika dibawa untuk mendapatkan permohonan reman.

Bagaimanapun, tindakannya itu berjaya dikawal oleh anggota polis yang mengiringnya sebelum dibawa masuk ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

Suspek direman tujuh hari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.

Semalam, gara-gara cemburu, mangsa, Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, dari Kampung Selat Pulau, Kampung Gajah dipukul hingga mati menggunakan kayu diletakkan paku oleh suami kekasihnya.

ARTIKEL BERKAITAN: OKU mati dipukul suami kekasih