Isu getah: Bantuan dihargai tapi tidak adil

Iklan
Aliasak Ambia

SHAH ALAM - Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 bagi pekebun kecil getah dihargai namun ia tidak adil.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia berkata kaedah pembahagian secara pukul rata tidak mengambil kira keluasan kebun.

Iklan
Iklan

"Memang boleh bantu sedikit sebanyak kurangkan beban mereka tapi ia tidak adil sebenarnya tapi kerajaan dah beri kita terima cuma langkah ini tidak tepat.

"Pekebun 10 ekar dan satu ekar tanah dapat RM600 juga. Bagi pekebun satu ekar itu mungkin cukuplah,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Hari ini, kerajaan mengumumkan seramai 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 yang akan dibayar dalam dua peringkat akhir tahun ini dan awal tahun depan.

Kerajaan turut mengumumkan akan menaikkan harga lantai getah skrap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari tahun depan.

Iklan

Dalam pada itu, Aliasak berkata meskipun pihaknya memahami keadaan kewangan kerajaan hari ini namun pihaknya berharap kerajaan akan meneliti dan mengkaji keperluan pekebun getah dari semasa ke semasa.

"Saya minta kerajaan kaji dari semasa ke semasa sebab kami perlukan subsidi kerajaan. Kos nak keluarkan getah RM3.50, jual RM1.80 sekilogram memang kami rugi banyak.

"Cuma setakat ini sudah dipersetujui RM2.50 sekilogram, tak membantu banyaklah tapi ada peningkatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau akui hasil getah hari ini semakin merosot dan keadaan bertambah parah apabila musim tengkujuh atau banjir.

"Bukan musim tengkujuh sahaja, hari biasa pun hasil kurang. Secara tak langsung pendapatan pekebun pun kurang. Apabila hujan lebat, banjir memburukkan lagi keadaan,” katanya.