16 ahli sindiket judi Indonesia dicekup

Iklan
Narenasagaran menunjukkan token peralatan perbankan dalam talian yang dirampas dalam empat serbuan Sabtu lalu.

GEORGETOWN - Seramai 11 lelaki dan lima wanita warga Indonesia disyaki ahli sindiket perjudian ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti itu dalam talian di beberapa lokasi di Bayan Lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, kesemua warga asing yang berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan pada 10 malam, 21 Jun lalu hingga 12 tengah hari keesokan harinya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam operasi itu, polis menyerbu empat premis iaitu kondominium mewah yang dijadikan pusat khidmat panggilan berpusat (calling centre) untuk aktiviti perjudian dalam talian yang berpangkalan di Indonesia.

"Sindiket yang beroperasi hampir tiga bulan hingga setahun ini menyasarkan pelanggan dari republik berkenaan. Mereka menyewa di kondominium mewah kerana sistem keselamatan di kawasan itu agak ketat dan sukar untuk diketahui pihak berkuasa.

Iklan

"Bagi melicinkan aktiviti haram itu, satu laman sesawang telah direka khas yang mana perisiannya dibeli daripada sindiket di Kemboja. Ahli sindiket itu juga bertindak mempromosi aktiviti perjudian dalam talian melalui pesanan mesej ringkas menerusi apliskasi WeChat dan WhatsApp yang menyasarkan pelanggan dari Indonesia yang ada di sini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, pusat khidmat itu turut memainkan peranan penting menguruskan setiap transaksi keluar masuk wang secara dalam talian bagi aktiviti perjudian tersebut.

Iklan

"Setiap transaksi wang tersebut dibuat melalui akaun bank Indonesia antaranya Bank Negara Indonesia (BNI), Bank Rakyat Indonesia (B)RI dan Bank Central Asia (BCA). Jumlah minimum pertaruhan bermula 1,000 Rupiah hingga 20 juta Rupiah (maksimum), bergantung jenis permainan judi.

"Hasil risikan, anggaran keuntungan boleh mencecah RM15,000 hingga RM60,000 sehari bagi setiap premis. Antara aktiviti perjudian yang dianjurkan adalah jenis poker, bookie bola bagi liga antarabangsa, loteri 4D (dalam dan luar Indonesia) dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, polis merampas 26 buah komputer; 29 buah telefon bimbit, 27 buah token peralatan pembankan dalam talian dan sebuah komputer riba.

"Kesemua tangkapan merupakan operator atau pembantu pusat khidmat panggilan berpusat yang bekerja 12 jam sehari mengikut syif yang mana, setiap syif akan ada tiga operator yang akan bekerja. Kita masih mencari dalang sindiket ini.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960. Ada di antara mereka mempunyai permit kerja dan ada yang tiada (permit kerja). Bagaimanapun, siasatan masih perlu dilakukan bagi mengesahkan permit itu sah atau sebaliknya," katanya.