PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini melancarkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak di medium digital Youtube sebagai usaha terbaharu kerajaan mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pendekatan kreatif untuk menyampai dan menyebar luas video pendidikan seks itu menyasarkan tontonan sebanyak 150,000 oleh kanak-kanak berusia tiga hingga ke empat tahun sehingga hujung tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata video berdurasi kira-kira seminit tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan akan disiarkan bermula hari ini dalam bentuk iklan sebelum video pilihan kegemaran dan pilihan kanak-kanak disiarkan di platform tersebut.
"Pengetahuan dan kesedaran yang disampaikan melalui video ini merupakan perkara asas yang kanak-kanak perlu tahu untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa dan membantu mereka mengenal pasti tingkah laku mencurigakan yang sepatutnya dilaporkan,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran video tersebut di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Dr Wan Azizah berkata video tersebut dihasilkan melalui usahasama antara kementerian dan Malaysians Against Pornography yang sehingga kini telah menghasilkan empat hingga lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak, selain mendapat kerjasama pihak Google.
Dr Wan Azizah berkata kebanyakan ibu bapa hari ini membenarkan anak-anak mereka melayari Youtube bukan sahaja untuk tujuan pendidikan tetapi turut menjadi sumber pendidikan interaktif.
"Namun ibu bapa harus memantau tempoh ‘screen time’ anak-anak ini dan kementerian mencadangkan sebaik-baiknya, ‘no screen time’ atau akses terhad kepada kepada internet adalah sehingga kanak-kanak berumur dua tahun,”katanya.
Mengenai saranan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) supaya cuti paterniti sekurang-kurangnya tujuh hari diperkenalkan di sektor swasta, Yeoh yang ditemui selepas majlis itu berkata kementerian menyambut baik cadangan tersebut yang dapat meringankan beban ibu yang baru melahirkan anak.
"Isu keibubapaan memerlukan kedua-dua pihak memainkan peranan dan kita tidak mahu ibu melalui kesusahan diawal waktu selepas melahirkan anak berseorangan kerana bapa perlu keluar bekerja,”katanya.
Buat masa ini, golongan bapa di sektor swasta tidak layak dari segi perundangan untuk cuti paterniti manakala golongan bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji. - Bernama