KUALA TERENGGANU - Mayat yang lengkap berpakaian ditemukan terapung di tali air, Kampung Gong Baru, di sini pagi tadi.
Mayat yang dipercayai lelaki berusia 31 tahun itu ditemui seorang pemancing di kawasan terbabit, kira-kira jam 9.15 pagi.
Mohd Hamizan Mohd Zahri, 28, ketika ditemui berkata, dia memancing di tali air berkenaan berseorangan dari jam 7.30 pagi, sebelum menemui ‘benda’ terapung.
"Masa kejadian dalam jam 9.15 pagi, saya nampak ada benda pelik terapung, tak tahu apa. Rasa lain macam, saya panggil orang kampung. Bila perhatikan betul-betul, macam mayat dalam keadaan tertiarap.
"Orang kampung kemudiannya menghubungi polis. Tak lama kemudian, bomba dan polis datang dan bila tarik ke tebing, memang sah ia mayat seorang lelaki,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan kes tersebut.
Menurutnya, polis menerima panggilan pada jam 9.26 pagi oleh orang awam dan pemeriksaan awal pada tubuh mayat berkenaan tidak menjumpai apa-apa kesan yang disyaki berunsur jenayah.
"Kita turut menjumpai dokumen diri dan beg duit pada badan mayat itu dan hasil siasatan, alamat terkini mangsa adalah di Tok Adis, Kuala Ibai.
"Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat. Keluarga mangsa juga telah dimaklumkan untuk proses pengecaman,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.