LONDON - Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt melabel Boris Johnson sebagai pengecut kerana enggan menyahut cabarannya untuk berdebat.
Hunt dan Johnson yang juga bekas Setiausaha Luar dan jurucakap kempen utama Brexit adalah dua calon akhir dalam perlumbaan menjadi Perdana Menteri Britain.
Johnson ketika ini mendahului saingan apabila memperolehi 160 daripada 313 undian, sementara Hunt meraih 77 undi.
"Sama ada dia sudah berpuas hati dengan hasil undian atau dia memang seorang pengecut.
"Jika dia mahukan jawatan PM, dia perlu tampil ke hadapan," kata Hunt ketika mengulas keengganan Johnson untuk muncul di Channel 4 bagi mendebatkan isu kepimpinan Parti Konservatif pada awal bulan ini.
Johnson dan Hunt berjanji membawa Britain keluar dari EU secepat mungkin, dengan tarikh keluar ketika ini selepas dua penangguhan, ditetapkan pada 31 Oktober.
Dua calon terakhir yang dipilih akan melalui 16 sesi kempen di seluruh negara dan dua sesi debat di televisyen sebelum ahli parti menghantar undi pos mereka bagi memilih pemimpin baharu.
Pemenang akan diumumkan pada 22 Julai ini sebelum mengambil alih jawatan Theresa May sebagai Perdana Menteri. - Agensi