KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dari Korea Utara gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan ikat jamin di Mahkamah Majistret di sini hari ini, sementara menunggu pendengaran prosiding ekstradisinya ke Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa Amerika memohon kerajaan Malaysia supaya menghantar pulang Mun Chol Myong, 54, ke Amerika untuk menghadapi dakwaan pengubahan wang haram.
Majistret Noorashikin Sahat menolak permohonan Mun supaya dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu prosiding ekstradisi, dan menegaskan terdapat kemungkinan besar dia akan melarikan diri.
Mun ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei lepas dan kemudian ditahan reman selama 60 hari sementara menunggu permohonan kerajaan untuk menghantarnya pulang ke Amerika untuk menghadapi dakwaan pengubahan wang haram.
Perintah tahanan reman itu akan berakhir pada 14 Julai dan mahkamah menetapkan 4 Julai bagi pengurusan kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizul Aswad Masr berkata disebabkan kes itu dalam prosiding ekstradisi, responden (Mun) seharusnya tidak dibenarkan ikat jamin.
"Ia kerana kes ini mempunyai kaitan dengan urusan antarabangsa, tidak seperti mahkamah jenayah biasa, yang memberi responden hak untuk diikat jamin,” katanya.
Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Mun berhujah anak guamnya ditahan mengikut waran tangkap sementara yang hanya memberi hak kepada pihak berkuasa untuk menahan sementara mana-mana individu.
Difahamkan Mun tinggal di Malaysia selama kira-kira 10 tahun bersama-sama isteri dan dua anak perempuan di bawah program MMH2 (Malaysia Rumah Keduaku).
Berikutan permohonan daripada pihak berkuasa Amerika supaya Mun dihantar pulang untuk menghadapi dakwaan di negara itu, lelaki itu ditahan pada 13 Mei tahun ini oleh pihak berkuasa tempatan. - Bernama