KOTA BHARU - Tindakan pantas seorang peniaga kosmetik menghubungi polis sebaik menyedari gerak geri mencurigakan dua pelanggan yang datang ke rumahnya di Kubang Bemban, Pasir Mas Sabtu lalu membawa kepada penemuan sepucuk pistol dan gari.
Turut ditemui pelbagai senjata tajam termasuk pedang, pisau, golok dan tukul besi serta penemuan dadah jenis metamphetamine yang dianggarkan bernilai RM4,000 dalam kereta jenis Produa Myvi yang dinaiki suspek.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kejadian berlaku pada jam 10.45 malam ketika lelaki berusia 54 tahun terbabit berada di rumahnya dan didatangi dua lelaki mengaku pelanggan yang mahu membeli barangan kosmetik yang dijual mangsa.
Katanya, dua suspek tersebut masuk ke rumah mangsa untuk urusan pembelian barangan kosmetik tersebut, namun gerak-geri mereka disedari mencurigakan oleh mangsa yang kemudian bertindak menghubungi polis.
"Anggota Unit Rondaan Ibu Polis Daerah Pasir Mas yang menerima maklumat itu segera ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati seorang daripada suspek terbabit berada di ruang tamu, manakala seorang lagi berada di dalam tandas rumah mangsa.
"Pemeriksaan di dalam rumah menjumpai sepucuk Revolver jenis Smith & Wesson berwarna perak bersama kelopak mengandungi enam butir peluru jenis.22 bersama satu beg kecil berwarna putih jalur ungu di dalamnya mengandungi 13 peluru jenis.22, tiga kelongsong dan satu beg kecil berwarna hitam yang mengandungi seunit gari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.
Azmi berkata, suspek pertama berketurunan Siam berusia 27 tahun yang bekerja sebagai peniaga kedai telefon dan rakannya seorang mekanik berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
"Suspek pertama tersebut didapati positif metamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan judi dan kegagalan mempamerkan kad pengenalan.
"Kedua-duanya ditahan reman seminggu bermula 23 Jun sehingga 29 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti lebih berat) 197, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 196 dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Tambahnya, polis masih menyiasat motif suspek pergi ke rumah mangsa sama ada bertujuan samun atau ada kemungkinan-kemungkinan lain.
Dalam pada itu, katanya rampasan senjata api pada tahun ini sehingga tempoh 23 Jun 2019 berjumlah tujuh pucuk. Untuk rekod jumlah rampasan senjata api pada tahun 2017 berjumlah 18 pucuk manakala pada 2018 berjumlah 25 pucuk.