CALON Presiden Nombor 2 Indonesia, Prabowo Subianto akhirnya bertemu dengan sukarelawan dan juga penyokongnya yang telah berjalan kaki dari Tegal, Jawa Tengah ke Jakarta.
Prabowo menerima ketibaan penyokong yang bernama Rahman di kediamannya di Jalan Kartenegara, Jakarta Selatan.
Perkara itu dikongsikan sendiri melalui Instagram (IG) miliknya, hari ini.
"Ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Bapak Rahman yang rela berjalan kaki dari Tegal untuk menghantar aspirasi rakyat Tegal kepada Prabowo,” tulisnya di IG miliknya.
Sebelum ini Tribunnews melaporkan viral gambar Rahman yang mendakwa telah berjalan dari Tegal Jawa Tengah sejak bulan Julai.
Difahamkan jarak antara Tegal, Jawa Tengah ke Jakarta adalah lebih dari 300 kilometer.
Malah ia turut dikongsi oleh Prabowo Subianto melalui IGnya.
Dalam perjalanannya, Rahman membawa satu papan tanda yang bertuliskan 'Saya ingin bertemu dengan Bapak Prabowo Subianto, Calon Presiden 2019. Jalan kaki dari Tegal - Jateng'.
Rahman berkata, matlamatnya untuk menyampaikan aspirasinya kepada Prabowo.
"Saya ingin menyampaikan aspirasi rakyat yang mahu menggantikan presiden pada 2019. Dia mahu perubahan kepada ekonomi kerana sekarang ekonomi adalah sukar, rakyat bawahan tertekan," katanya.
Senyuman akhirnya terukir di wajah Rahman apabila dapat bertemu Prabowo setelah berjalan kira-kira lima bulan, bermula Julai lalu.