Kandungan sebatian kimia dikesan pada mangsa

Iklan
Dzulkefly (kiri) dan Sahruddin (kanan) pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

PASIR GUDANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan memang terdapat sebatian kimia dikesan pada mangsa pencemaran udara yang kian berlarutan di kawasan ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, namun sebatian kimia yang ditemui hanya 134 partikel per juta (ppm) dan tidak berada pada tahap toksik yang tinggi.

Iklan
Iklan

"Dari sudut klinikal, keracunan toksik dan perubatan, ia tidak begitu di tahap membimbangkan. Kandungan toksik itu ada tetapi ia tidak seperti bagi kes Sungai Kim Kim yang menyebabkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Ia hanya menyebabkan muntah dan sesak nafas. Bahan itu juga tidak dikenal pasti dalam urin dan sampel darah mangsa kerana bahan ini berkemungkinan mempunyai separa hayat yang pendek dan bertahan dalam masa lima jam sebelum ini dikumuhkan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat Pusat Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Iklan

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya juga masih belum mengenal pasti bahan kimia yang betul-betul tepat hingga mengakibatkan insiden gangguan kesihatan sedemikian.

"Kita dalam peringkat akhir untuk mengenal pasti bahan-bahan kimia tersebut dan ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Dr Sahruddin memaklumkan, untuk kejadian hari ini 75 mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan pemeriksaan.

"Bagaimanapun, hanya empat pesakit yang masih menerima rawatan di wad biasa HSI dan tidak memerlukan rawatan intensif dan insiden ini melibatkan mangsa dari 15 sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, SK Pasir Gudang 2, SK Pasir Gudang 1, SMK Bandar Seri Alam 2, SMK Taman Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Bandar Seri Alam.

Turut terjejas, SK Taman Rinting 2, SK Taman Rinting 3, SK Desa Cemerlang, SK Kota Masai, SMK Taman Megah Ria, SK Pasir Putih dan SK Taman Megah Ria 2.