BEKAS pemenang Anugerah Puskas FIFA, Faiz Subri percaya jaringan pertahanan import Pahang, Herold Mark Goulon pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2019 menentang Perak, Sabtu lalu, mampu meraih kejayaan yang pernah di kecapinya pada 2016.
Pemain Pulau Pinang berusia 31 tahun itu, berkata, gol sensasi Goulon pada perlawanan itu jelas berkualiti tinggi dan tidak mustahil boleh meraih kemenangan sepertinya kerana teknik sepakan dilakukan menerusi jarak lebih kurang 55 meter sukar dilakukan oleh mana-mana pemain
Iklan
Iklan
"Memang, kalau boleh nak tengok dia tercalon dalam Anugerah Puskas FIFA dan saya rasa peluang untuk menang tetap ada jika dicalonkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.
Goulon, pemain kelahiran Perancis dan bekas pemain Blackburn Rovers dalam Liga Perdana Inggeris, mencipta sensasi apabila jaringannya viral di media sosial dan mendapat liputan media antarabangsa.
Pada perlawanan tersebut, Pahang mengalahkan Perak 3-1.
Faiz sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul pemain bola sepak Asia pertama merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, menerusi jaringan sensasinya yang berjaya mendapat undian keseluruhan sebanyak 59.46 peratus.
Jaringannya dari jarak 35 meter disifatkan"melanggar hukum fizik” ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Februari 2016.- Bernama