PORT MORESBY - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec (AELM) ke-26 di sini dari 17-18 November.
Kehadiran perdana menteri akan menyediakan peluang untuk mempamerkan Malaysia baharu sebagai demokrasi matang yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
Ia juga akan menggariskan komitmen dan pendirian Malaysia untuk bekerjasama dengan ekonomi lain di rantau Asia Pasifik ke arah mencapai objektif Matlamat Bogor 2020 dan melangkauinya.
Kehadiran Dr Mahathir pada mesyuarat itu memperteguhkan jangkaan dan harapan Malaysia terhadap Apec dalam pembinaan komuniti Asia Pasifik ke arah mencapai perumbuhan ekonomi dan pembangunan saksama menerusi kerjasama perdagangan dan ekonomi.
Beliau akan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking; serta pegawai kanan daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Bercakap kepada media Malaysia di sini Jumaat, Saifuddin berkata ini merupakan kehadiran pertama Dr Mahathir di Apec sebagai Perdana Menteri ketujuh, mewakili kerajaan baharu dengan mandat dan aspirasi baharu.
Kali terakhir Dr Mahathir menghadiri AELM adalah pada 2003 di Bangkok, Thailand, yang ketika itu beliau Perdana Menteri keempat.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN yang berakhir semalam di Singapura, Saifuddin menegaskan Dr Mahathir merupakan satu-satunya pemimpin yang secara terbuka membangkitkan isu"perdagangan adil" khususnya bagi negara membangun daripada"perdagangan bebas".
"Beliau akan terus bercakap tentang pentingnya perdagangan bebas dan adil, dan isu lain yang anda memang boleh jangkakan daripada Tun iaitu sesuatu yang berkait rapat dengan tema mesyuarat Apec – masa depan digital. Tun juga akan menyentuh, antara lain, Revolusi Industri Keempat," katanya.
Apec 2018, bertema"Harnessing Inclusive Opportunities, Embracing the Digital Future”, (Memanfaatkan Peluang Inklusif, Memupuk Masa Depan Digital) akan menumpukan untuk meningkatkan kesalinghubungan bagi memperkukuh integrasi ekonomi, serta menggalakkan pertumbuhan perdagangan mampan dan inklusif di rantau Apec.
Sementara ïtu, Saifuddin berkata acara penting pada sidang kemuncak tahunan itu adalah Pemukiman Pemimpin, dengan Dr Mahathir akan berkongsi idea dan wawasan Malaysia serta cadangan dasar bagi hala tuju forum ekonomi itu.
Selain menghadiri mesyuarat itu, perdana menteri juga dijadual menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak CEO Apec bertajuk"Masa Depan Pertumbuhan Ekonomi”.
Dr Mahathir, bersama-sama Pemimpin Apec lain juga akan menyertai dialog dengan Majlis Penasihat Perniagaan Apec atau ABAC dan Dialog Pemimpin Apec dengan Pemimpin Pacific Island.
Beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Papua New Guinea; Perdana Menteri Kanada; Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong; dan anggota United States-Business Coalition.
Mereka akan membincangkan perkara kepentingan bersama dengan objektif untuk meningkatkan usaha sama dua hala membabitkan isu-isu penting serantau dan global.
Perdana Menteri akan mengakhiri lawatan kerjanya dengan mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Islam di Papua New Guinea di Masjid Hohola di Port Moresby, bagi menonjolkan keutamaan Malaysia dalam usaha meningkatkan hubungan dengan ummah Islam. - Bernama