ASEAN berpotensi hos dengan jaya Piala Dunia: AFF

Iklan
Major Jen Khiev Sameth - Foto aseanfootball

ASEAN berpotensi menjadi hos dengan jayanya Piala Dunia FIFA, kata Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Major Jen Khiev Sameth.

Ketika menyandarkan sokongan AFF bagi bidaan bersama Piala Dunia 2034, Sameth berkata ASEAN akan menjana faedah ekonomi dan sukan apabila mengendalikan acara bertaraf dunia itu, di samping mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan 640 juta orang di rantau ini.

Iklan
Iklan

"Ia sentiasa menjadi pendirian kami bahawa ASEAN, yang secara kolektif ekonomi ketiga terbesar di Asia dan ketujuh terbesar di dunia, mempunyai potensi untuk menjadi tuan rumah dengan jayanya Piala Dunia.

"AFF akan mendapatkan pihak berkepentingan dan melihat kemungkinan melakukan bidaan untuk hak menjadi hos, di samping mengambil kira faktor utama termasuk keperluan minimum yang telah ditetapkan untuk pertandingan, garis masa dan pertimbangan lain,” katanya.

Iklan

Semalam, Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha pada Persidangan ASEAN ke-34 di Bangkok, mengumumkan bahawa semua negara anggota ASEAN bersetuju untuk mengemukakan satu bidaan bersama untuk menjadi hos acara bola sepak terbesar di dunia.

Ide untuk menjadi hos bersama Piala Dunia kali pertama diusulkan oleh Jepun dan Korea Selatan, yang berjaya mengadakan acara itu pada 2002.

Iklan

Dengan kejohanan itu akan diperbesarkan daripada 32 pasukan kepada 48 pasukan pada 2026, kejohanan itu akan dihos bersama oleh tiga negara buat kali pertama iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Qatar akan menjadi hos pada acara 2022, hanya kali kedua di benua Asia sejak Uruguay menjadi hos edisi ulung pada 1930.- Bernama