FAM sedia bantu kerajaan untuk Piala Dunia 2034

Iklan
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia memberi sokongan penuh kepada kerajaan berhubung keputusan ASEAN bersepakat membida Piala Dunia 2034.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya bersedia membantu kerajaan dengan menyediakan segala maklumat tepat mengenai kehendak aspek teknikal, prosedur dan proses penyediaan bidaan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Iklan
Iklan

"Ini adalah peluang terbesar untuk bola sepak di rantau ini yang akan meninggalkan legasi kepada ASEAN serta Malaysia. FAM amat teruja dengan hasrat ini. Industri bola sepak memperoleh manfaat limpahan dari segi kemudahan, pembangunan, pelaburan kerajaan dan swasta dengan kesemua terarah kepada bola sepak," katanya hari ini.

Beliau menyifatkan persetujuan para pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, semalam, untuk membida secara bersama penganjuran Piala Dunia 2034 merupakan satu perkembangan yang besar.

Iklan

"Sebelum ini, hasrat membida hak tuan rumah Piala Dunia hanya dibincangkan dalam kalangan pemegang taruh bola sepak termasuk Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa tugas untuk menjadi tuan rumah mahupun membida kejohanan tersohor empat tahun sekali itu adalah terlalu besar dengan mengambil kira komitmen, pelaburan dan masa yang diperlukan dalam proses tersebut.

Iklan

Stuart berkata kertas kajian kebolehlaksanaan mengenai infrastruktur, kemudahan dan kos keseluruhan perlu disediakan terlebih dahulu serta arif dengan tempoh masa proses pembidaan yang memakan masa antara lapan dan 10 tahun sebelum kejohanan bermula. Sebagai rekod, England membelanjakan £21 juta (kira-kira RM110 million) untuk membida Piala Dunia 2018 yang dimenangi Rusia.

Qatar akan menjadi tuan rumah edisi ke-22 pada 2022 manakala Piala Dunia 2026 dihoskan bersama oleh Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico yang buat pertama kali akan menyaksikan penampilan 48 pasukan.

Benua Asia pertama kali menjdi tuan rumah Piala Dunia apabila Jepun dan Korea Selatan secara bersama menjadi hos pada 2002.

Bagaimanapun, hasrat ASEAN itu dijangka akan menerima saingan sengit daripada sebuah lagi wakil benua Asia, iaitu China yang bakal menjadi tuan rumah Piala Asia 2023.

Selain kelebihan sumber kewangan, China bercadang membina stadium baharu di sembilan daripada 12 bandar raya tuan rumah Piala Asia 2023 sebagai sebahagian daripada cita-cita jangka panjang negara itu untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.

Antara syarat bidaan FIFA untuk Piala Dunia ialah negara tuan rumah perlu menyediakan stadium dengan kapasiti minimum 80,000 tempat duduk untuk perlawanan pembukaan dan final, minimum 60,000 tempat duduk untuk perlawanan separuh akhir dan 40,000 tempat duduk untuk perlawanan pusingan awal.- Bernama