Hebatnya teknologi, hantar makanan guna dron!

Iklan
Penghantaran makanan menggunakan dron menunjukkan usahawan tempatan berfikiran di luar kotak. Gambar kecil: Azlina

SEIRING peredaran masa, trend perkhidmatan penghantaran makanan secara online semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Faktor utama ia menjadi pilihan kerana cepat, mudah dan kos penghantaran yang dikenakan juga berpatutan.

Senario itu jauh berbeza jika mahu dibandingkan empat atau lima tahun lalu. Jika dahulu kita sendiri yang akan datang ke restoran untuk menikmati hidangan yang diidamkan, namun zaman sekarang semuanya jauh lebih mudah. Kalau nak makan tengah hari atau makan malam, tak perlu pun memandu jauh.

Iklan
Iklan

Pilih sahaja perkhidmatan penghantaran makanan yang popular ketika ini, antaranya GrabFood, Foodpanda, Dahmakan, Mamman, Cooked, DeliverEat dan banyak lagi. Semuanya menawarkan perkhidmatan yang hampir sama tetapi berbeza mengikut keunikan dan keistimewaan masing-masing bagi menarik perhatian pelanggan.

Makanan yang dipesan akan terus dihantar sampai ke depan pintu pada waktu yang telah dipersetujui. Pilihan makanan pula pelbagai daripada yang biasa-biasa sehinggalah yang bercita rasa tinggi, daripada makanan kampung sehinggalah makanan antarabangsa, malah makanan untuk wanita berpantang dan sedang dalam rutin berdiet juga ada. Caj yang dikenakan antara RM4 hingga RM5 bergantung kepada lokasi.

Iklan

Baru-baru ini, Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Alvin Gill berkata, prestasi kategori makanan dan hidangan meningkat dengan pantas beberapa bulan kebelakangan ini yang didorong oleh tawaran peniaga seperti perbelanjaan minimum yang lebih rendah dan pengurangan kos penghantaran.

Beliau berkata, kategori itu meningkat 60 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku keempat 2018, malah pengguna mereka meningkat lima kali ganda dalam tempoh tiga minggu pertama bulan Ramadan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Iklan

Betapa hebatnya kemajuan teknologi masa kini dan sangat sesuai untuk dimanfaatkan semua golongan terutama wanita yang bekerjaya. Selepas seharian lelah di pejabat dengan pelbagai urusan, tidak salah rasanya memesan makanan secara online bagi meringankan sedikit tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Jimat masa dan jimat tenaga. Waktu yang sepatutnya si isteri sibuk memasak, bolehlah pula digunakan sebaiknya untuk melayani suami dan anak-anak atau melakukan kerja rumah yang lain.

Masyarakat pula janganlah memberi persepsi negatif kepada pengguna perkhidmatan penghantaran makanan. Jangan terlalu mudah menjatuhkan hukum dan melabel mereka pemalas, tak pandai masak dan macam-macam lagi.

Cuba kita melihatnya dari sudut yang positif. Perkhidmatan penghantaran makanan membuka peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan sekali gus dapat membantu anak muda yang masih menganggur, apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tak berapa bagus ketika ini, ramai juga yang hilang pekerjaan.

Kerjaya penghantar makanan mungkin boleh dijadikan pilihan alternatif, waktunya fleksibel dan yang penting harus rajin kerana jumlah pendapatan dikira berdasarkan jumlah perjalanan yang berjaya diselesaikan setiap hari. Merekalah elemen penting yang menggerakkan trend baharu ini, yang didorong pula oleh permintaan yang meningkat dalam kalangan pengguna.

Kedua, ia dapat membantu usahawan kecil untuk berniaga terutama golongan wanita yang terdiri daripada suri rumah atau golongan peniaga makanan kecil-kecilan dari rumah. Kemahiran memasak yang dimiliki boleh dikembangkan untuk menjadi salah satu punca pendapatan keluarga.

Selain itu, trend baharu ini juga memberi peluang kepada individu yang berkebolehan untuk membangunkan aplikasi baharu khususnya untuk makanan halal.

Terbaru dengar khabar warga Cyberjaya bakal menikmati perkhidmatan penghantaran makanan menggunakan dron yang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam industri dron sejak 2014 iaitu Average Drone Sdn Bhd. Sebanyak tujuh jenis makanan yang ditawarkan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan iaitu mi, mihun, nasi, burger, sandwich, kuih dan buah-buahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Average Dron Sdn Bhd, Hamdee Hamdan berkata, dron yang dinamakan Express Food itu boleh diterbangkan pada waktu hujan tetapi bukan dalam situasi hujan lebat dan mampu menampung berat muatan sehingga 800 gram.

Hebatnya teknologi kini. Segala-galanya menjadi semakin mudah seiring dengan peredaran inovasi.

* Azlina Mohamad Jantan ialah Penolong Editor Edisi Nasional