TANAH MERAH -"Saya dan ibu masih terkejut dengan kejadian itu, namun reda dengan ketentuan Ilahi dan takdir ini,” luah isteri kepada Che Aziz Shepii, 58, yang maut bersama anak sulungnya, Mohd Faizul Che Aziz dalam kemalangan pada enam Syawal lalu.
Dalam kejadian berkenaan, dua beranak tersebut yang menaiki Perodua Kancil dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pakal, Manak Belimbing.
Menurut isteri Che Aziz, Liza Muhmmad, 46, dia tidak bekerja dan sebelum ini suami dan anak sulungnya yang menjadi tunjang keluarga.
"Kami masih sedih dan terkenangkan kedua-dua arwah memandangkan merekalah penguat semangat kami. Namun ALLAH lebih sayangkan mereka dan kejadian itu amat terkesan di hati kami.
"Sekarang saya perlu lebih kuat untuk besarkan dua lagi anak yang masih bersekolah di tingkatan enam dan yang bongsu di darjah tiga,” katanya kepada Sinar Harian.
Keluarga terbabit ditemui ketika menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diketuai Pengurus Perkeso Kuala Krai, Mohd Azran Che Nuri.
Mohd Azran berkata, kedua-dua mangsa ialah pekerja kilang di kawasan Perindustrian Jalan Staponal, Kuala Krai.
"Jadi untuk kes ini ia melibatkan perjalanan mangsa ketika pulang ke rumah dari tempat kerja.
"Ia sekali gus disahkan sebagai Bencana Kerja di bawah Seksyen 24(1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan melayakkan isteri arwah menerima pencen Faedah Orang Tanggungan (FOT) sepanjang hayatnya,” katanya.
Menurutnya, selain itu, waris juga layak menerima bayaran Faedah Pengurusan Jenazah (FPM) berjumlah RM2,000 seorang iaitu bagi kematian suami dan anaknya.