IPOH - Dua buah keluarga yang hidup secara ‘bergelandangan’ selama lima hari di kaki lima ruang niaga Kinta Riverfront, memohon bantuan rumah kediaman daripada pihak berwajib.
Difahamkan, kedua-dua keluarga berkenaan mula tinggal di sekitar kawasan kaki lima berkenaan sejak 18 Jun lalu setelah tempoh penginapan di Anjung Singgah di kawasan berhampiran tamat.
Bagi Mohamed Asrul Mohamed Aris 44, yang berasal dari Teluk Ayer Tawar Pulau Pinang, dia serta keluarga mula tinggal di Anjung Singgah sebelum bulan puasa lalu setelah mendapat tawaran kerja di Ipoh.
Bagaimanapun setelah memulakan kerja di sebuah syarikat kawalan keselamatan dalam tempoh berkenaan dia tidak dapat mencari rumah kediaman untuknya sekeluarga.
"Sebelum ini saya kerja kilang di Pulau Pinang dan saya datang ke Ipoh bersama keluarga setelah menerima tawaran kerja daripada sebuah syarikat kawalan keselamatan di sini.
"Bagaimanapun setelah sebulan bekerja dengan syarikat itu, saya masih tidak dapat mencari rumah untuk dijadikan kediaman kami sekeluarga.
"Di sebabkan itu, majikan saya memberikan saya ‘cuti’ dan memberitahu supaya saya segera selesaikan masalah ‘tempat tinggal’ saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohamed Asrul, seorang daripada anaknya yang berusia 6 tahun, telah diserahkan kepada sebuah rumah anak yatim di Sungai Itik, Gopeng.
Menurutnya, pada ketika ini dia hanya mahukan sebuah rumah kediaman untuk dirinya sekeluarga.
"Besar harapan saya agar ada pihak yang sudi membantu keluarga saya ini. Keutamaan saya ketika ini adalah rumah sebagai tempat untuk keluarga saya berlindung,” katanya.
Bagi Razali Sumari 42, bersama isteri serta tiga anak-anaknya yang berusia 15 tahun, 13 tahun dan 11 tahun terpaksa keluar dari rumah sewanya di Tambun setelah gagal membuat bayaran sewa selama lima bulan.
Lebih memeritkan bagi pekerja sub-kontrak dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini, motosikalnya juga ditarik pada bulan puasa lalu.
"Saya telah minta bantuan baitulmal, dan pihak baitulmal difahamkan sudah bayar separuh sewa rumah itu, tetapi tuan rumah tetap meminta kami keluar dari rumah berkenaan.
"Isteri saya tidak bekerja manakala ketiga-tiga anak saya masih bersekolah di SMK Tambun. Kini, ketiga-tiga mereka pun sudah tidak bersekolah kerana jauh dan tidak ada kenderaan untuk saya menghantar mereka.
"Sekarang saya sendiri pun dah tak bekerja lagi sebab projek-projek daripada TNB didapati semakin berkurangan pada hari ini,” katanya.
Tambah Razali, dia sangat berharap agar permohonannya untuk memiliki sebuah rumah dapat direalisasikan.
Katanya, dia meletakkan keutamaan untuk memiliki rumah untuk dijadikan tempat berlindung isteri serta anak-anaknya.
"Saya juga melihat peluang-peluang kerja untuk saya membantu menyara keluarga dan mungkin juga untuk mendapatkan kenderaan bagi menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian ke sebuah inap desa (homestay) di Gugusan Manjoi mendapati kedua-dua keluarga berkenaan kini menumpang di situ dengan semua kos termasuk makanan ditanggung oleh parti-parti komponen PH Melayu Ipoh Barat.
Difahamkan juga, bayaran untuk inap desa ini pun akan disambung dua hari lagi, (mula menetap pada Sabtu, 22 Jun), mulai hari ini.
Sementara itu Pegawai Khas Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, Roslan Ali berkata, pihaknya akan cuba membantu dua keluarga berkenaan, khususnya bagi mencari rumah kediaman buat mereka. 0 Roslan yang juga Pengerusi Parti-Parti Komponen PH Melayu Ipoh Barat berkata, setakat ini pihaknya mencadangkan agar beberapa lot kosong di rumah pangsa Jalan Hospital (Flat Ashby), boleh diberikan kepada kedua-dua keluarga berkenaan.
"Saya dimaklumkan, ada beberapa kekosongan bagi lot-lot rumah di rumah pangsa itu. Insya-ALLAH, jika ada mungkin boleh diusahakan sebagai rumah kediaman dua keluarga ini.
"Selain itu, kita juga berusaha mencarikan pekerjaan bagi mereka dan diharapkan dengan pekerjaan yang ditawarkan ini dapat membantu mereka memiliki sedaya yang mampu untuk membantu kedua-dua keluarga ini memiliki pendapatan tetap,” katanya.
Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan kepada kedua keluarga ini boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Bank Simpanan Nasional (BSN) 0714-029000 2643 -62 atas nama Mohamed Asrul Mohamed Aris atau menghubunginya di talian 011-265 44767.
Orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 1581 6309 4595 atas nama Razali Sumari atau menghubunginya di talian 011-69710438.