BRISBANE - Seorang pengumpul mainan Lego menukar hobinya menjadi sumber pendapatan sehingga dia mampu membayar deposit untuk membeli sebuah rumah, lapor akhbar Daily Mail.
Josh Mangleson, 25, yang menetap di sini, mengumpul blok Lego sejak dari kecil lagi. Dia menjadikan hobi berkenaan antara sumber pendapatannya selepas mendapati minat tersebut dapat menjana keuntungan.
Mangleson membuat keuntungan dengan membeli set-set Lego popular dan menjualnya semula pada harga lebih tinggi.
Sehingga kini, dia telah mengumpulkan pendapatan bersih berjumlah A$20,000 (RM57,000) untuk dijadikan deposit membeli rumah.
"Kebanyakan orang tidak percaya bila saya maklumkan deposit rumah kami dibayar menggunakan hasil jualan Lego. Saya fikir ibu bapa saya anggap saya gila bila menghabiskan wang ribuan dolar untuk Lego tetapi bila melihat keuntungan yang dijana, mereka mula menyokong usaha ini,” katanya.
Walaupun menyedari set Lego mempunyai nilai tinggi sejak dari sekolah menengah lagi, Mangleson hanya membuat pelaburan dalam hobinya ketika dia mengambil jurusan Ekonomi Hartanah pada pertengahan tahun 2016.
Dia mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk membeli sebanyak mungkin set Lego, khususnya blok permainan itu yang dijual pada harga murah. Lelaki itu menyimpan Lego berkenaan selama 18 bulan sebelum menjualnya semula di laman jualan seperti eBay dan Gumtree.
Mangleson mendapat keuntungan lebih 40 peratus berbanding modal yang dikeluarkan dengan sesetengah watak Lego yang diburu oleh pengumpul-pengumpul permainan itu, dapat dijual pada harga mencecah A$500 (RM1,400).
Usahawan muda itu berkata, dia telah menjual kira-kira 20 set Lego atau 75 peratus stok yang berada dalam simpanannya. Separuh daripada set tersebut adalah koleksi peribadi yang disimpannya sejak dari kecil, sementara separuh lagi merupakan set Lego baharu.