KLANG - Padah menggunakan akaun WeChat untuk aktiviti persundalan, sepasang suami isteri terpaksa meringkuk di dalam penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.
Hakim Mahkamah, Razali Ariffin mensabitkan Muhammad Saruddin Basri dan Noor Shahfizan Shamsuddin terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 23 Julai depan untuk jatuh hukum.
Muhammad Saruddin,23, dan Noor Shahfizan, 24, terpaksa ditahan dipenjara selepas mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan.
Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu mengaku secara sedar telah menggunakan aplikasi tersebut atas akaun Mirra untuk memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial.
Kesalahan itu dilakukan mereka di Flat Cempaka, Persiaran Bukit Raja, dekat sini, jam 3 petang pada 4 Disember lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah memaklumkan pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh tidak mempunyai alamat tetap.
"Ini amat menyukarkan polis untuk mengesan tertuduh," katanya.
Justeru, beliau memohon mahkamah menetapkan tarikh lain sementara menunggu laporan forensik terhadap telefon bimbit tertuduh.