KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 September untuk mendengar permohonan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah supaya kes saman fitnah yang dikemukakan pihaknya terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain ditentukan melalui penghakiman terus iaitu tanpa perbicaraan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Haziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah kepada pemberita selepas pengurusan kes tersebut di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Beliau berkata, dalam prosiding hari ini peguam Americk Singh Sidhu yang mewakili kesemua defendan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya baru menerima afidavit jawapan tambahan dari London semalam dan akan memfailkannya hari ini.
"Jadi, hakim beri arahan supaya defendan memfailkan afidavit tersebut hari ini dan pihak plaintif dibenarkan untuk menjawab (afidavit) jika perlu dalam masa dua minggu. Selepas itu, pihak-pihak wajib failkan hujahan bertulis, di mana plaintif pada 23 Julai dan defendan-defendan pada 6 Ogos.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultanah Nur Zahirah mohon kes saman ditentukan melalui penghakiman terus
"Plaintif seterusnya dibenarkan failkan jawapan (untuk hujahan bertulis) pada 20 Ogos dan selepas itu permohonan (plaintif) akan didengar di mahkamah terbuka pada 10 Sept, pada 2.30 petang, seterusnya mahkamah akan tetapkan satu tarikh untuk keputusan (permohonan)," katanya.
Pada 27 Mei lepas, Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memohon supaya Mahkamah Tinggi memutuskan kes saman fitnah yang dikemukakan pihaknya terhadap Rewcastle-Brown dan dua yang lain ditentukan melalui penghakiman terus mengikut peruntukan Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman itu pada 21 Nov tahun lepas dengan menamakan Rewcastle Brown atau nama sebenar Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin, serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam penyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle Brown mengeluarkan kenyataan dalam buku itu sekitar Ogos tahun lepas dan buku berkenaan dicetak oleh Vinlin Press.
Dakwa Sultanah Nur Zahirah, kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu serta menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan menolong Jho Low, atau nama sebenar Low Taek Jho, bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat di TIA.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu adalah fitnah kerana plaintif tidak pernah melibatkan diri dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan penubuhan TIA selain mendakwa kenyataan itu memalukan serta menjatuhkan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat.
Sultanah Nur Zahirah bertitah adalah suatu fakta diketahui umum bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini dikenali sebagai TIA.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghenti pencetakan lanjut salinan buku berkenaan. - Bernama