PASIR GUDANG - Komuniti Taman Tanjung Puteri Resort, di sini, mendesak kerajaan negeri untuk memberi jaminan terhadap isu kesihatan yang melanda ekoran kejadian pencemaran udara sekali lagi melanda kawasan itu.
Pengerusi Kelab Belia Wawasan Tanjung Puteri Resort, Jamaluddin Abdul Malik berkata, usaha itu juga melibatkan cadangan untuk memberikan rawatan susulan kepada mangsa-mangsa yang terjejas sejak pencemaran di Sungai Kim Kim, Mac lalu.
"Kami di sini hidup dalam keadaan trauma dan semestinya mahu keadilan, sejak kejadian di Sungai Kim Kim beberapa bulan lepas, kami masih dibiarkan tidak tahu dengan apa yang terjadi.
"Semalam kejadian seumpama ini berlaku lagi, dan ramai daripada mangsa terjejas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort adalah mangsa kali kedua, malah ada dikejarkan ke hospital.
"Apa jaminan kami di sini selamat, jaminan kesihatan anak-anak kami. Saya harap mungkin kerajaan boleh pertimbangkan untuk mengadakan sesi rawatan susulan kepada mangsa-mangsa terjejas ini,” katanya.
Jamaluddin berkata, kebimbangan pihaknya semakin memuncak apabila mangsa terjejas yang menerima rawatan di hospital tidak dimaklumkan dengan status terkini kesihatan masing-masing.
"Dalam kejadian di SMK Tanjung Puteri Resort semalam, anak saya juga adalah salah seorang mangsa, dan dia juga antara mangsa yang dikejarkan ke hospital dan ditahan di wad.
"Masa kejadian pertama dulu pun dia ditahan di wad, tetapi sejak daripada itu lagi pihak hospital tidak memberitahu apa yang terjadi, ketika ambil anak saya dari hospital, kami hanya diberikan kertas putih kosong, tiada maklum punca apa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau juga turut meluahkan rasa kecewa dengan pengurusan kerajaan negeri yang dilihat lewat memberi makluman berhubung situasi sebenar berlaku di kawasan ini.
"Kita kecewa kerana ada benda-benda penting tidak dimaklumkan segera. Selain itu, kami penduduk juga pening sebab percanggahan kenyataan daripada beberapa menteri mengenai kejadian ini.
"Ada yang kata sudah dilupuskan ada kata belum dan ada kata tiada mengena dengan kejadian di Sungai Kim Kim. Sepatutnya keadaan ini perlu sepakat sebab kita sedang berhadapan dengan bencana,” katanya.