SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Pandan yang juga bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam Pemilihan PKR 2018, Rafizi Ramli mengalah dalam Pemilihan PKR 2018 demi kepentingan parti.
Rafizi berkata, dia mengambil kira kesan kekalahan kepada Datuk Serti Mohamed Azmin Ali adalah lebih besar berbanding jika dirinya mengalah.
"Beliau seorang menteri kanan, penyandang jawatan sebagai dua penggal dan bekas menteri besar. Kekalahan beliau di tangan seorang penganggur akan dijadikan alasan untuk beliau berundur terus dari persada politik.
"Saya juga telah melihat bagaimana penyokong kuat beliau, Saudara Vernon Kedit telah bertalu-talu membuat laporan kepada SPRM mengenai keanggotaan di cabang Julau (yang sebelum itu tidak pun dibantah) sehingga menyebabkan kakitangan parti ditahan SPRM,” katanya.
Rafizi memberitahu, jika pemilihan semula diadakan di Julau, Sarawak dan ada kemungkinan dirinya menang watak seperti Vernon Kedit ini akan mengheret parti ke peringkat Pendaftar Pertubuhan dan mahkamah.
"Apabila pergolakan dari pemilihan parti ini berpanjangan melangkaui Kongres Nasional, bebannya akan ditanggung oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Beliau akan dituduh tidak mampu mengendalikan parti. Beliau akan dikritik kerana dilihat tidak mampu mendisiplinkan pimpinan parti di bawah.
"Selari dengan tuduhan dan kritikan itu, akan ada suara sumbang dari luar dan dalam parti yang mempersoalkan kewibawaan beliau menjadi Perdana Menteri ke-8,” katanya.
Rafizi berkata, dia tidak terjun ke persada reformasi sejak 20 tahun lalu dengan niat mahu merebut kuasa.
"Saya benar-benar mahu melihat keadaan yang lebih baik untuk rakyat biasa kerana saya datang dari keluarga susah dari Terengganu.
"Saya yakin kalau kita bawa perubahan mengangkat idealisme reformasi yang kita perjuangkan, nasib rakyat akan menjadi lebih baik. Saya yakin orang paling baik untuk melaksanakan idealisme reformasi itu adalah Anwar sebagai Perdana Menteri yang ke-8.
"Oleh itu, saya membuat keputusan lebih awal untuk tidak mendesak melalui Biro Politik dan mengalah lebih awal.
"Lagi pun, keputusan pemilihan kali ini adalah cukup jelas. Undi popular Azmin hanyalah 51 peratus, berbeza 2 peratus sahaja dengan undi popular saya yang melambangkan dua aliran berbeza yang sama kuat dan sama penting di dalam parti.
"Isyarat yang dihantar melalui undi anggota yang memberi kemenangan kurang 2 peratus kepada Azmin (dalam keadaan beliau Menteri kanan, penyandang jawatan selama 8 tahun dan bekas Menteri Besar), adalah isyarat yang perlu diperhalusi oleh beliau sendiri,” katanya.
Rafizi memberitahu, dia mendoakan Anwar sebagai Presiden parti dan bakal Perdana Menteri mendengar dan meneliti segala kemelut dan keluh kesah anggota di bawah.
"Sejujurnya, tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah di dalam pemilihan ini.
Rafizi memberitahu sebaik kembali menjadi anggota biasa PKR beliau akan terus turun padang berjumpa anggota akar umbi untuk menyusun gerakan menjadi lebih baik.
"Saya akan terus setia kepada perjuangan PKR untuk rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Anwar.
"Sama-sama kita raikan beliau sebagai presiden baru PKR, kita ketemu di Kongres Nasional esok,” katanya lagi.
Terdahulu Rafizi menegaskan dalam Pemilihan PKR lepas, dia mempunyai asas kukuh untuk berkeras supaya diadakan semula pemilihan berkenaan.
"Secara tidak rasmi beza undi di antara saya dan Azmin ialah 2,500 undi, iaitu kurang 2 peratus dari jumlah keseluruhan yang mengundi (sekitar 141,000 orang anggota parti).
"Saya fikir Azmin bakal diumumkan Timbalan Presiden dengan undi popular yang tidak melebihi 51 peratus, berbanding dengan undi saya sekitar 49 peratus.
"Paling kontroversi ialah kejadian data dihapuskan di Julau dan kehadiran aplikasi Prey di dalam peranti tablet yang digunakan untuk undian.
"Tambahan pula JPP memang mengakui berlakunya pencerobohan dan Ketua Unit IT JPP, Alvin Teoh memang ditahan polis untuk siasatan berhubung kes ini,” katanya lagi.