PASIR GUDANG - Pusat Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, kelihatan lengang tanpa sebarang kemasukan mangsa baharu sejak awal pagi tadi.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan setakat jam 2 petang tadi mendapati hanya kakitangan daripada jabatan berkaitan sahaja yang berada di situ dalam keadaan siap siaga.
Pusat gerakan itu dibuka sebagai kawalan utama menghadapi sebarang kemungkinan sejak pencemaran udara dikesan melanda Sekolah Agama Taman Mawar, di sini, Khamis lalu.
Difahamkan, pusat operasi ini yang mengendalikan sebarang kes kecemasan selain klinik kesihatan dibuka sehingga jam 10 malam bagi mana-mana mangsa mengalami simptom pencemaran bau seperti loya dan muntah-muntah.
Semalam, Jabatan Pendidikan Johor mengambil keputusan untuk menutup 111 sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pengajian tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta.
Kesemua institusi pendidikan itu diarahkan tutup sehingga Khamis ini bagi membolehkan kerja-kerja pemantauan kualiti udara di kawasam sekitar selesai dijalankan.
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal juga meminta orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka ketika berada di luar rumah.